30 APRIL 2020, KHAMIS – Menurut Penyelaras Kor Siswa/I Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Bin Abdul Rahim, penglibatan lebih 20 orang alumni Kor SISPA USIM merupakan satu usaha murni dalam membantu negara menghadapi segala kemungkinan untuk memastikan keselamatan awam negara dalam keadaan terkawal. Mereka telah ditempatkan di beberapa kawasan sekitar Negeri Sembilan seperti Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Seremban, Pusat Pemantauan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Stesen Kuarantin Akademi Audit Negara (AAN), Stesen Kuarantin Institut Aminuddin Baki (IAB), Stesen Kuarantin Royale Chulan, Stesen Kuarantin UiTM Rembau dan sebagainya.

Penglibatan alumni Kor SISPA USIM telah bermula sejak Fasa 1 arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

APM Negeri Sembilan telah membuka peluang bagi alumni Kor SISPA USIM untuk berkhidmat membantu barisan hadapan negara bersama pelbagai agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain agensi.

Alumni Kor SISPA USIM yang merupakan pegawai pasukan berstatus Leftenan Muda lantikan APM telah dilatih dalam kerja-kerja pengurusan pejabat dan pengurusan operasi bencana. Kepakaran yang dimiliki oleh mereka amat diperlukan dalam tugasan pentadbiran di stesen kuarantin seperti pengumpulan data bagi setiap individu yang berstatus dalam pemantauan (PUS) atau dalam siasatan (PUI) dan agensi, penyediaan laporan harian, penyediaan minit mesyuarat, penjadualan penugasan anggota dan lain-lain tugasan.

Bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini, Penyelaras Kor SISPA USIM memohon agar kesemua PUS atau PUI yang berada di setiap stesen kuarantin memberi kerjasama yang baik kepada semua petugas.

“Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan dan pergi ke hospital berdekatan sekiranya mempunyai gejala”, tambahnya.

Disediakan oleh
Nurul Syazwani & Nurul Hanisah
Leftenan Muda (PA) Kor Sispa USIM