KENALI PALAPES USIM
Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mahasiswa-mahasiswi di Universiti Awam (UA).
Selain dari melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), program PALAPES juga menyokong usaha kerajaan dan UA untuk membentuk kualiti dan jati diri seorang warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara. Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; di mana latihan biasa yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan pada setiap hujung minggu. Selain itu, latihan berterusan dan latihan kem tahunan juga akan diadakan secara sepenuh masa yang mengambil masa sehingga 3 minggu.
Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. Pada masa kini, PALAPES telah ditubuhkan di 17 buah UA.
SIAPAKAH YANG LAYAK MENYERTAI PALAPES?
Untuk melayakkan seseorang pelajar menyertai PALAPES, seseorang itu seharusnya memenuhi syarat-syarat berikut:
- Telah diterima sebagai pelajar prasiswazah sepenuh masa di USIM dengan tempoh pengajian tidak kurang dari 3 tahun.
- Warganegara Malaysia.
- Berumur di antara 18 hingga 25 tahun. .
- Mempunyai tahap kesihatan yang baik.
- Tinggi minimum adalah 162 cm bagi lelaki dan 157 cm bagi wanita.
- Berat badan minimum ialah 50 kg bagi lelaki dan 45 kg bagi wanita.
- Tidak rabun warna. Seseorang yang berkaca mata juga boleh dipertimbangkan.
- Pendengaran yang baik.
- Perwatakan yang baik serta mempunyai minat yang mendalam dalam latihan ketenteraan.
- Lulus Ujian Kecergasan Asas.
- Lulus tapisan keselamatan.
- Lulus temuduga.
DOKUMEN
Dokumen-dokumen Yang Diperlukan:
- 4 Salinan Kad Pengenalan Pemohon
- 4 Salinan Sijil Kelahiran
- 4 Salinan Sijil Akademik
- 4 Salinan Sijil Berhenti Sekolah
- 4 Salinan Kad Pengenalan Waris
- 4 Keping Gambar Berukuran Passport
- Laporan pemeriksaan kesihatan lengkap berserta X-Ray.
AKTIVITI & LATIHAN PALAPES
Latihan bagi PALAPES dilaksanakan selama tiga tahun.
- Tahun pertama : Peringkat 1 (Junior)
- Tahun kedua : Peringkat 2 (Intermediate)
- Tahun ketiga : Peringkat 3 (Senior).
Latihan yang dijalankan di PALAPES adalah mirip kepada latihan Kadet Angkatan Tetap sebagaimana yang dilaksanakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademi Tentera Darat (ATD) – Cawangan Kadet Graduan.
PALAPES ditetapkan untuk melaksanakan latihan yang dibenarkan berdasarkan Manual Panduan Askar Wataniah MM 15.1.1A TD 2006.
Jenis-jenis latihan yang dijalankan oleh PALAPES adalah seperti berikut:
1. Latihan Tempatan (LT).
Semua mata pelajaran yang diajar adalah berdasarkan peringkat masing-masing. Hari latihan yang dirancang adalah mengikut kelapangan pegawai kadet atau hari kokurikulum universiti bagi mencapai kehadiran yang maksimum. Latihan yang dijalankan hendaklah tidak kurang dari 10 jam bagi mendapatkan catuan sajian percuma kepada semua pegawai kadet.
2. Latihan Berterusan (LB).
Markas PALAPES diberi tanggungjawab untuk merancang Latihan Berterusan bagi keperluan mengulangkaji pelajaran-pelajaran yang memerlukan penekanan lanjut. Setiap latihan yang dijalankan hendaklah tidak kurang dari 72 jam. Antara silibus latihan yang boleh dilaksanakan di dalam LB adalah seperti berikut:
a. Membaca Peta.
b. Latihan Menembak.
c. Latihan Kawad.
d. Latihan Ketenteraman Awam.
e. Latihan Semboyan.
3. Latihan Kem Tahunan (LKT).
LKT merupakan kemuncak bagi segala latihan yang dijalankan setiap tahun. Di dalam latihan ini, semua pegawai kadet akan diuji dan dinilai dalam aspek teori dan praktikal di atas apa juga pelajaran yang telah dipelajari. Penilaian seragam akan dilaksanakan terhadap semua pegawai kadet di semua PALAPES UA. Semua pegawai kadet dikehendaki mengikut latihan berdasarkan latihan peringkat masing-masing. Rancangan penilaian dan aktiviti LKT yang seragam bagi semua PALAPES UA adalah seperti yang ditetapkan oleh Tim Penilai LKT yang dikoordinasikan oleh Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD).