Mutakhir ini telah berlangsungnya program forum ilmiah yang dianjurkan oleh pelajar tahun satu Transformasi Kepimpinan Mahasiswa Muda (CLA1022) bagi membincangkan danmengupas serta memberi pendedahan awal kepada mahasiswa dan mahasiswi sama ada yang berada di usim mahupun masyarakat luar untuk cakna akan apa itu merdekanya seorang mahasiswa. Adakah ianya realiti untuk dikecapiatau angan- angan? Objektif program ini dijalankan adalah bagi membincangkan secara ilmiah aspek inovasi kepimpinan belia sebagai langkah persiapan awal dalam membangun jiwa merdeka serta menghadapi situasi yang mencabar, memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan mempunyai jati diri merdeka serta memahami kepimpinan negara yang menjadi modal insan kepada negara dan memberikan pendekatan terbaik kepada kumpulan belia mengenai pendekatan kepemimpinan bagi menangani isu yang ada.
Forum ini telah diisi dengan perbincangan dan persoalan yang hangat daripada para peserta bersama dua panel utama iaitu saudara Jufitri bin Joha selaku naibpresiden Asian African Youth Government danditemani oleh Timbalan Yang dipertua Majlis Persatuan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia iaitu saudari Nurul Aina Sofea binti Mohd Kamal.
Menurut saudara Jufitri merdekaseorang mahasiswa ini adalah bebas jiwa yang tidak bergantung kepada kebendaan atau makhluk. Mengapa? Ini kerana mahasiswa perlu mempunyai sumber ilmu pengetahuan supaya dapat melahirkan seorang pemimpin yang berfikiran kritis. Hal ini kerana mereka juga yang akan menggerakkan dan memimpin negara ke arah kemajuan di masa akan datang.
Di dalam nukilan Tan Malaka menyebut bahawa kemewahan terakhir sebagai mahasiswa adalah sebuah idealisme. Bak dua mata pisau, idealisme yang dibawa oleh pemuda atau mahasiswa boleh memberi kehidupan kepada orang lain atau memberi kesengsaraan kepada mereka. Hal ini kerana mereka ini ‘ejen’ yang penting dalam mencorak ketamadunan sesebuah negara. Rosaknya ejen ini kerana tidak diberi kesedaran di usia setahun jagungnya, maka runtuh dan hancurlah sesebuah ketamadunan negara itu.
Masyarakat harus peka dan menggembleng tenaga membantu mahasiswa ini mengecapi apa itu kemerdekaan dalam diri mereka kerana mahasiswa yang juga merupakan pemuda dan belia ini adalah bakal pemimpin yang akan memimpin rakyatnya, ahlinya malahan keluarganya juga negaranya kearah yang lebih baik daripada kini.
Kita sengsara dengan ketidakstabilan politik yang melanda di beberapa tahun kebelakangan ini, rasuah berleluasa, yang berkuasa semakin menunjukkan taringnya menindas mereka yang tidak punya kuasa menentangnya. Adakah ini yang kita nantikan dan impikan? Negara dipimpin atas dasar ‘gila kuasa’ dan hanya berpinar mata melihat kemewahan yang ditabur di depan mata kerana jawatan yang diperolehnya dan bukanlah asbab membantu, menjaga dan membela kehidupan rakyatnya. Di mana agama yang sepatutnya menjadi tunjang utama yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam melakukan setiap perkara?
Menurut saudari Nurul Aina Sofea dalam melontarkan hujahnya mengenai hubungkait di antara mahasiswa dan kemerdekaan berkata bahawa perlu ada perpaduan dalam kehidupan seorang mahasiswa. Dimana beliau telah menggambarkan perpaduan pelajar di dalam universiti yang mana kita dapat dilihat terdapat pelbagai bangsa dan agama di dalam kelompok pelajar universiti itu sendiri. Disitulah kesejahteraan dan keharmonian itu akan wujud dalam kalangan pelajar tanpamengira perbezaan kaum.
Ianya juga terkait dengan perpaduan dari segi kepimpinan dalam sesebuah organisasi atau kumpulan yang dipimpin oleh mahasiswa. Ini kerana dengan adanya perpaduan, seseorang mahasiswa itu akan membawa kepada kepimpinan yang baik dalam memilih keputusan yang tepat dan terbaik buat ahlinya. Keputusan itu juga perlu dicapai melalui persetujuan bersama dengan ahli jawatankuasa dalam kumpulannya agar sifat perpaduan wujud dalam gerakan kepemimpinan yang dicorak mahasiswa itu sendiri.
Kemerdekaan dalam definisi seorang mahasiswa menurut saudari Aina lagi adalah keamanan dan keselesaan yang dirasai oleh mahasiswa pada hari ini. Beliau memberi gambaran dimana keadaan mahasiswa pada hari ini mereka mempunyai bilik kuliah yang selesa dengan mempunyai penghawa dingin dan tiada gangguan daripada luar seperti peperangan dan pergolakkan sesama manusia yang memberikan keamanan dan ketenangan untuk menuntut ilmu itu. Akan tetapi tidak berlaku di beberapa negara luar yang mana kita sedia maklum seperti Iraq dan Palestin sedang menghadapi pergolakan dan peperangan dan ia telah menyebabkan golongan belia mereka sendiri terancam. Lalu bagaimana kemerdekaan bagi mahasiswa itu boleh diperoleh?
Perpaduan merupakan tunjang utama dalam kesejahteraan sesebuah negara. Apabila perpaduan itu tercapai maka akan terhasil keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat itu sendiri.