NILAI, 28 April 2019 – Program Dari USIM Dengan Cinta telah diadakan dengan jayanya bertempat di Red Spot Home Care, Kampung Rasah, Seremban. Program dianjurkan sepenuhnya oleh para pelajar & Jurulatih Kursus Hafiz Mujtama’i 2 Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM.
Seramai 17 orang pelajar bersama seorang tenaga pengajar berganding bahu menyantuni warga emas di Red Spot Home Care. Objektif program ini ialah untuk memberi peluang dan pengalaman baru bersama-sama terlibat dalam program warga emas yang diadakan buat julung kalinya serta menanam semangat kekitaan dan kesukarelawan antara para pelajar dan masyarakat setempat.
Aktiviti-aktiviti outdoor dan indoor juga turut diadakan dengan meriah seperti klinik al-Fatihah, bonding time serta gotong royong. Program diakhiri dengan aktiviti penyampaian sumbangan serta sesi fotografi bersama warga emas dan pihak pengurusan Red Spot Home Care sebagai tanda kenang-kenangan yang sangat berharga. Semoga program ini mampu memberi kesedaran yang mendalam kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang hak dan tanggungjawab mereka terhadap golongan warga emas dan mampu melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.