NILAI, 25 Jan – Kelas Kokurikulum Sukan Bola Tampar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program “Fun League Volleyball” pada 25 Januari 2023 yang telah berlangsung di gelanggang bola tampar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ‘Fun League Volleyball’ ini merupakan pertandingan bola tampar yang melibatkan 40 orang peserta yang terdiri daripada beberapa buah sekolah. Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Agama Nilai, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi dan penduduk sekitar Bandar Baru Nilai. Program ini juga melibatkan seramai 27 orang pelajar USIM yang menjadi fasilitator bagi memastikan program ‘Fun League Volleyball’ berjalan dengan lancar.
Objektif utama program ini adalah Menjalin hubungan dan silaturrahim antara pelajar USIM dan komuniti penduduk setempat yang berdekatan universiti serta menimba pengalaman untuk pelajar menguruskan dan mengadakan pertandingan bersama komuniti luar universiti.
Program “Fun League Volleyball” ini merupakan tugasan atau projek akhir bagi pelajar kelas kokurikulum bola tampar USIM. Atur cara program ini dimulai dengan fasilitator memberikan taklimat berkaitan atur cara program dan penerangan berkaitan peraturan-peraturan asas dalam bola tampar seperti pusingan pemain dalam gelanggang, kiraan mata dan sebagainya.
Perlawanan tumpuan pada program ini adalah pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nilai menentang Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi yang dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi.
Seusai pertandingan tamat, acara diteruskan dengan slot motivasi berkaitan tentang bola tampar yang telah disampaikan oleh En. Mohd Faiz bin Hamzah selaku jurulatih kokurikulum bola tampar USIM. Slot motivasi ini bertujuan untuk menambahkan lagi keazaman dan semangat peserta dalam menceburkan diri dalam bidang terutamanya sukan bola tampar.
Seterusnya program diteruskan dengan ucapan dari Timbalan Pengarah Program Mohammad Syahmi bin Mohd Radzi bagi melengkapkan program akhir kokurikulum bola tampar sesi 2022/2023. Dalam ucapannya itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat yang telah menjayakan program tersebut dan beliau juga berharap dengan program yang telah dianjurkan ini dapat membantu sedikit sebanyak kepada peserta tentang sukan bola tampar. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan bola tampar kepada peserta dan penyampaian cenderamata kepada wakil guru pihak sekolah yang terlibat sebagai tanda penghargaan.
Secara keseluruhan, pertandingan bola tampar ini diadakan adalah bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang terpendam dan melahirkan para pelajar yang sihat dan cergas melalui penyertaan yang menyeluruh dalam program ini. Peserta juga dapat membentuk pasukan yang toleransi antara satu sama lain serta membantu mengatasi kelemahan setiap individu bersama-sama. Selain itu, peserta dapat perolehi pengalaman dan ilmu baharu melalui pertandingan yang diadakan kerana pertandingan ini dijalankan mengikut Peraturan Persatuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB). Para fasilitator yang terlibat ditugaskan menjadi pengadil dan penjaga garisan gelanggang perlawanan. fasilitator juga telah dilatih dan mempunyai ilmu yang cukup tentang segala peraturan dan atur cara pertandingan.
Disediakan oleh: Muhammad Izwan Huzairy Bin Mohd Padzil