NILAI, 11 Januari 2025 – Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah berjaya menganjurkan Program Gen Z Khalifah di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), USIM. Program ini merupakan inisiatif di bawah Kursus Kokurikulum Pengurusan Masjid (CTB1012), dengan matlamat utama untuk mempertingkat kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan solat dalam kalangan generasi muda.

Seramai 55 orang peserta berusia antara 7 hingga 12 tahun telah menyertai program ini, dengan dibantu oleh 32 orang fasilitator dalam kalangan mahasiswa USIM. Objektif penganjuran program ini adalah untuk membentuk disiplin solat secara konsisten, menanamkan rasa cinta terhadap Allah SWT, dan memperkukuh pemahaman berkaitan tata cara solat yang betul sejak dari usia muda.

Program bermula seawal jam 8:00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti bacaan doa pembuka dan aktiviti ice-breaking bagi mewujudkan suasana mesra antara peserta dan fasilitator. Antara acara utama ialah ceramah motivasi oleh penceramah jemputan, Ustaz Da’i Fuad Mokhtar, yang menyampaikan syarahan bertajuk “Sahsiah Pelajar Memacu Keperibadian Ummah”. Sesi tersebut mendapat sambutan hangat apabila para peserta turut berpeluang bertanya soalan dan berkongsi pandangan mereka.

Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan seperti kuiz berkumpulan dan pertandingan mini, bertujuan meningkatkan minat dan penglibatan peserta. Pendekatan kreatif seperti penggunaan video animasi dan penceritaan kisah teladan para Nabi juga digunakan bagi memastikan mesej berkaitan kepentingan solat dapat disampaikan dengan berkesan dan menyeronokkan.

Walaupun berdepan beberapa cabaran seperti kelewatan ketibaan penceramah dan pengurusan peserta yang masih kecil, pihak penganjur berjaya mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelancaran keseluruhan program.

Program Gen Z Khalifah memberikan impak positif dalam membina asas spiritual dan akhlak dalam diri kanak-kanak. Penganjuran program seperti ini turut seiring dengan aspirasi USIM untuk melahirkan generasi yang celik ibadah, berdisiplin dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

USIM berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dengan penambahbaikan pada masa akan datang, termasuk penggunaan teknologi interaktif dan peluasan penyertaan ke kawasan luar bandar bagi manfaat lebih ramai generasi muda.