Bermula 7 Julai 2021, Skuad Tranformasi Perlindungan Kanak-kanak, Wanita dan Warga Tua (CTC1012) Kumpulan 2 telah mengadakan program “Kempen Perlindungan Golongan Rentan”. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam berkaitan tanggungjawab terhadap golongan rentan ini. Para pelajar yang telah dibahagikan kepada lapan kumpulan telah memainkan peranan masing-masing dalam penghasilan video berbentuk pembentangan, video animasi serta wawancara bagi menjayakan program ini.
Dengan bimbingan pensyarah, Dr Haliza A. Shukor, para pelajar telah menghasilkan 4 slot video yang berdurasi antara 30 minit hingga 1 jam 30 minit dan telah dimuat naik di laman youtube PPKI USIM. Setiap slot dikendalikan oleh 2 kumpulan pelajar dan slot tersebut terdiri daripada slot yang memberi fokus kepada golongan wanita, kanak-kanak, warga tua serta orang kelainan upaya(OKU). Di dalam program ini juga para pelajar telah mengupas isu-isu yang telah berlaku terhadap golongan rentan bagi membuka mata orang ramai yang mungkin terlepas pandang terhadap isu-isu penting seperti ini.
Penyediaan platform youtube ini dapat memudahkan orang ramai mendapatkan informasi berkaitan golongan ini disamping menyemai sikap prihatin dalam diri masyarakat terutamanya mahasiswa dan mahasiswi USIM. Sambutan yang baik telah diterima daripada orang ramai berdasarkan jumlah tontonan dan butang ‘likes’ yang hampir mencecah 2000 tontonan dan 900 ‘likes’ di platform youtube berkenaan.