LABU – Seramai 35 orang mahasiswi kursus kokurikulum berkredit Sains Kesukarelawan Kumpulan 1 dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan projek akhir Program Pemantapan Insaniah dan Kesukarelawan pada 28 Januari 2023. Para peserta program adalah seramai 144 orang yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan. Program yang julung kali diadakan di sekolah ini telah dirasmikan oleh Dr. Haji Abdul Jalil bin Ahmad selaku Pengetua SMAP Labu.
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan modal insan yang berkeperibadian unggul menerusi pemupukan pengetahuan, sikap dan amalan yang berkekalan dalam aspek kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan jalinan permuafakatan strategik antara USIM dengan pihak sekolah bagi membentuk jalinan kerjasama dalam usaha merealisasikan objektif program ini. Program ini dilaksanakan atas kesedaran bahawa mahasiswi universiti perlu lebih prihatin terhadap keperluan masyarakat sekeliling yang merupakan agen perubahan dan perkembangan negara.
Sepanjang program ini berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan. Antara slot yang telah diadakan ialah sesi Taaruf sebagai medium pengenalan antara barisan fasilitator dan para peserta. Setiap peserta dibahagikan kepada 14 kumpulan kecil dalam sembilan hingga sepuluh orang yang dibimbing oleh seorang fasilitator. Selain itu, aktiviti berbentuk explorace juga dijalankan bagi membina keyakinan diri dan potensi kumpulan sasar. Antara stesen check point yang disediakan adalah Where We Go, Silang Kata, Make Me Safe, Safe the Environment, Pemimpin Si Buta, Lakonan Simpulan Bahasa dan Tisu Mahabbah. Setiap stesen check point ini mempunyai objektif dan aktiviti yang berbeza bagi mengukuhkan pemupukan pengetahuan dan pembinaan jati diri peserta. Sambutan dan semangat yang ditunjukkan oleh setiap peserta amat menggalakkan dan di luar jangkaan.
Pada sesi perkongsian bersama peserta, terdapat beberapa orang peserta yang teruja untuk berkongsi pengalaman dan nilai yang diperolehi sepanjang mengikuti aktiviti ini. Antara perkongsian peserta adalah mereka dapat memupuk ikatan silatulrahim, menerapkan sifat kepimpinan dalam diri sendiri serta membimbing dan menyokong rakan dalam kumpulan. Para pemenang juga telah menerima hadiah berbentuk hamper yang disampaikan oleh wakil mahasiswi, Fikratun Nabilah binti Muhammad. Sesi perkongsian nilai peserta dan kaji selidik juga disediakan bagi mengukur keberkesanan dan penambahbaikan program ini pada masa akan datang.
Kesimpulannya, program ini memberi impak positif terhadap golongan sasaran untuk menerima ilmu baharu tentang sukarelawan di samping dapat menerapkan kemahiran insaniah melalui aktiviti motivasi yang dijalankan. Peserta juga dapat mengenalpasti kelebihan dan kelemahan dalam diri supaya dapat memperbaiki potensi diri. Selain itu, mahasiswi USIM dapat lebih memahami dan mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran sebagai sukarelawan universiti untuk memenuhi keperluan komuniti setempat serta mengukuhkan jenama USIM sebagai sebuah universiti awam yang memartabatkan sukarelawan berteraskan ilmu Naqli dan Aqli. Diharapkan juga, program membina seperti ini dapat dipergiatkan lagi di setiap pelusuk masyarakat.