BANGI, 11 Januari – Seramai 29 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada Kursus Golf Kumpulan 1, CDS1022, telah berjaya melaksanakan projek akhir tahunan mereka melalui penganjuran Program Klinik Golf. Program ini telah mendapat kelulusan dan perakuan daripada Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), serta diselaraskan di bawah bimbingan Encik Mohd Iqbal bin Aris.

Program Klinik Golf ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak, mengenai sukan golf yang sering dianggap sukan elit dan jarang diceburi oleh orang ramai. Selain memperkenalkan asas permainan golf, program ini juga bertujuan menarik minat serta mengubah persepsi negatif terhadap sukan tersebut.

Menurut kenyataan penganjur, sukan golf merupakan gabungan latihan fizikal dan keterhubungan dengan alam semula jadi. Ia turut memberi pelbagai manfaat kesihatan termasuk membantu mengurangkan kadar kolesterol dan meningkatkan kesejahteraan mental.

Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Harith Danial Mahdi selaku Pengerusi Program, sebelum sesi pembahagian kumpulan dilaksanakan, melibatkan 4 hingga 5 peserta setiap kumpulan. Setiap kumpulan dibimbing oleh fasilitator yang menyampaikan pembentangan mengenai sejarah sukan golf, peralatan asas, teknik asas pukulan, cara memegang kayu golf (golf stick), postur badan yang betul serta etika dalam permainan golf.

Sebagai pendekatan interaktif, peserta turut menyertai aktiviti silang kata yang mengandungi sepuluh istilah berkaitan golf. Aktiviti diteruskan dengan sesi latihan praktikal bagi memastikan peserta menguasai teknik pukulan yang betul sebelum menyertai pertandingan Mini Golf.

Pertandingan Mini Golf yang dianjurkan di penghujung program menjadi tumpuan utama apabila setiap kumpulan menghantar tiga wakil terbaik untuk bersaing secara sihat. Hadiah turut disediakan sebagai galakan dan penghargaan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Program ini diharapkan dapat memberi impak positif dengan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sukan golf, serta membuka peluang kepada generasi muda untuk mencuba dan mendalami sukan tersebut.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Mohd Iqbal bin Aris serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Kursus Golf USIM juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan sokongan lebih meluas daripada komuniti dan pihak universiti.