NILAI, 11 Januari 2025 – Seramai 35 peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan Photography Contest sempena Festival Kokurikulum 2025 (FESKOM 2025) yang berlangsung di Kolej Kediaman 1, USIM. Pertandingan ini dianjurkan oleh pelajar Kursus Fotografi (Kumpulan 1) di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM sebagai sebahagian daripada aktiviti kursus mereka.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh kemahiran fotografi dalam kalangan mahasiswa serta memperkenalkan seni fotografi sebagai medium ekspresi kreatif dan dokumentasi visual yang berkualiti. Dalam masa yang sama, ia turut memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek keusahawanan, promosi, dan pengurusan program.
Festival Kokurikulum merupakan acara tahunan USIM yang menghimpunkan pelbagai kursus kokurikulum seperti kompang, teater, nasyid, serta aktiviti sukan seperti bola jaring, bola sepak, bola tampar, dan futsal. Penyertaan kursus fotografi menerusi Photography Contest memberi warna dan kelainan kepada festival kali ini, menarik minat pelajar yang cenderung dalam bidang seni visual dan kreatif.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti taklimat dan pengagihan tugasan kepada ahli jawatankuasa. Aktiviti fotografi berlangsung secara aktif di beberapa lokasi utama sekitar kampus termasuk Kompleks Sukan Tunku Najihah (KSTN), Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), dan kawasan Kolej Kediaman 1. Peserta berpeluang mengaplikasikan teknik pencahayaan dan komposisi yang dipelajari, serta menghasilkan karya fotografi berdasarkan tema yang ditetapkan.
Sebanyak 48 peserta telah menyertai pertandingan kecil (Small Contest) yang dianjurkan sempena festival ini, namun hanya 18 peserta diumumkan sebagai pemenang. Tiga pemenang utama menerima hadiah berupa smartwatch, manakala selebihnya menerima hadiah saguhati seperti pemanas makanan, mini pot, Japanese bowl set, termos, dan rak buku. Pertandingan ini telah berjaya mencetuskan semangat inovasi dan meningkatkan daya saing dalam kalangan peserta.
Selain pertandingan, aktiviti jualan booth dan dokumentasi visual sepanjang program turut dijalankan sebagai aktiviti sampingan bagi merancakkan suasana festival. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar bersama peserta, ahli jawatankuasa dan tenaga pengajar sebelum berakhir pada jam 2.00 petang.
Maklum balas peserta menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi terhadap penganjuran program ini. Antara cadangan penambahbaikan termasuk peningkatan sistem komunikasi dalam kalangan jawatankuasa, promosi yang lebih agresif melalui media sosial, serta penambahan aktiviti interaktif yang melibatkan lebih ramai mahasiswa.
Secara keseluruhannya, Photography Contest dan Festival Kokurikulum 2025 telah mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal dan kreativiti mahasiswa, tetapi juga membuka peluang untuk mereka meneroka potensi dalam bidang fotografi secara lebih serius dan profesional. USIM melalui PPKI diharap akan terus menyokong penganjuran program sebegini dalam melahirkan generasi mahasiswa yang lebih dinamik, kreatif, dan berdaya saing.