BANGI, 15 Januari 2025 – Kursus Kokurikulum Pingpong Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan Program Mahabbah Pingpong bersama peserta Rumah Bakti Al Kausar dalam satu sesi interaksi komuniti yang bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Program ini bertujuan memperkenalkan asas permainan pingpong kepada peserta di samping memupuk semangat kepimpinan, keyakinan diri dan kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar USIM serta peserta luar.

Seramai 26 orang peserta terlibat dalam program yang dijalankan secara bersemuka di Rumah Bakti Al Kausar. Pelajar kursus Pingpong USIM memainkan peranan sebagai fasilitator dan penyelaras aktiviti, hasil kerjasama rapi antara jawatankuasa program dan pihak pengurusan rumah kebajikan tersebut.

Program dibahagikan kepada empat sesi utama selama tiga jam:

Sesi 1: Taklimat & Senamrobik

Program dimulakan dengan sesi pengenalan antara peserta dan urusetia, pembahagian kumpulan serta senamrobik sebagai aktiviti pemanas badan.

Sesi 2: Klinik Pingpong

Peserta didedahkan kepada asas permainan pingpong, termasuk demonstrasi dan latihan praktikal secara berkumpulan dengan bimbingan fasilitator. Walaupun ramai peserta belum pernah bermain sebelum ini, mereka menunjukkan kemajuan dan minat yang memberangsangkan.

Sesi 3: Explorace Sukaneka

Aktiviti eksplorasi melibatkan 5 checkpoint cabaran, antaranya:

  • Tiup Bola Dalam Cawan – Uji ketangkasan dan kawalan pernafasan.

  • Tolak Bola Dengan Straw – Asah koordinasi mata dan tangan.

  • Meneka Gambar – Latih pemikiran kreatif dan reaksi pantas.

  • Baling Bola Masuk Cawan – Uji kecekapan motor halus dan ketepatan.

  • Meneka Bola Dalam Cawan Tertutup – Tingkatkan fokus dan daya tumpuan.

Setiap aktiviti direka bagi membina semangat kerja berpasukan dan mencetuskan elemen keseronokan dalam bersaing secara sihat.

Sesi 4: Penyampaian Hadiah & Penutup

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan peserta terbaik serta sesi bergambar kenangan. Penglibatan aktif peserta sepanjang program diraikan sebagai simbol kejayaan bersama.


Program Mahabbah Pingpong ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada peserta, malah menjadi platform pembelajaran bermakna bagi pelajar USIM dalam mempraktikkan nilai insaniah dan kepimpinan yang diterapkan dalam kursus kokurikulum mereka.

PPKI percaya bahawa keseimbangan antara pencapaian akademik dan penglibatan dalam khidmat masyarakat mampu melahirkan insan holistik yang bukan sahaja cemerlang secara intelektual, malah aktif secara fizikal dan sosial.