KUALA LUMPUR, 25 JUN – Seramai 27 orang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia telah melaksanakan projek akhir tahunan bagi Kelab Badminton Kumpulan 2. Program meyantuni golongan gelandangan tersebut tertumpu di Masjid Jamek, Kuala Lumpur memandangkan tempat tersebut dilihat strategik untuk melaksanakan program ini. Program ini telah bermula pada jam 6.30 petang sehingga 11 malam. Mereka melaksanakan program ini dengan telah mengagihkan sumbangan berbentuk barangan kepada golongan tersebut.
Melaksanakan program ini sangat memerlukan kecekalan memandangkan perlu berjumpa dengan pelbagai jenis manusia yang boleh dikatakan kurang berkemampuan yang datang dari pelbagai jenis latar belakang. Namun begitu, para mahasiswa yang terlibat telah membuat persiapan dengan sebaiknya. Program pada hari tersebut telah dimulakan dengan sesi taklimat ringkas bersama penasihat. Pengagihan barangan tersebut bermula pada jam 9 malam sejurus tiba di lokasi dan selesai taklimat tentang keselamatan bersama pihak NGO yang diketuai oleh Puan Nur Fiatilisma. Antara NGO yang juga turut membantu adalah dari pihak Warung Sahabat yang diasaskan oleh Puan Wan Kamariah.
Antara barangan yang diedarkan adalah seperti alatan mandi dan juga makanan. Para mahasiswa telah mengedarkan barangan tersebut sambil menyantuni mereka terutamanya bersama kanak-kanak yang juga tidak ketinggalan berada di situ. Suasana juga agak sedih apabila melihat kanak-kanak yang masih kecil berlari-lari dan ada juga yang hanya berteduh di dalam kereta. Mereka juga ada yang bersekolah dan mempunyai cita-cita yang tinggi.
Golongan ini tidak boleh diketepikan oleh masyarakat yang hanya melihat dari sudut negatif. Malah mereka juga rajin bekerja untuk meneruskan kehidupan walaupun hanya hidup di jalanan. Mereka hanya kurang bernasib baik seperti masyarakat di luar sana. Seterusnya program ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada pihak NGO yang terlibat.
Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dari program tersebut. Kami juga sangat berterima kasih kepada pihak NGO yang turut datang membantu mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia ini. Oleh itu, kami meyeru supaya lebih ramai pihak yang boleh melaksanakan program kemasyarakatan seperti ini supaya dapat menerokai dan mendalami kehidupan mereka dengan lebih dekat.
Sekian terima kasih.