Pada 28 Januari 2023, seramai 32 orang pelajar daripada kursus Integrasi Komuniti telah melaksanakan program libatsama komuniti bertempat di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN), Kampung Pedas Kundur Hilir, Pedas Negeri Sembilan Darul Khusus. Program libatsama komuniti yang dinamakan sebagai Program Sentuhan Permata Kasih ini melibatkan anak- anak yatim dan miskin seramai 30 orang iaitu 9 orang lelaki dan 21 orang perempuan. Program ini dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan program libatsama komuniti melalui pendekatan Service Learning Malaysia and Universiti for Society (SULAM). Selain itu, pemindahan ilmu kepada komuniti dapat dilaksanakan serta ia memupuk kemahiran interpersonal yang melibatkan atribut komunikasi sosial, keyakinan diri, semangat berpasukan, sifat tanggungjawab serta daya kepimpinan. Program ini juga dapat  mendidik pelajar untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling serta mampu menangani masalah yang dihadapi dalam mengendalikan program.

Pelajar berpeluang untuk menyantuni anak-anak yatim dan miskin melalui pelbagai aktivti yang dilaksanakan antaranya ialah Sesi Ice Breaking, motivitasi kepimpinan diri, sukaneka, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar serta menyiapkan “mini library”. Acara perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Haji Alias yang merupakan Penasihat Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Miskini Negeri Sembilan (PEYAKIN). Manakala sesi penutupan diakhiri dengan penyampaian barangan sumbangan berupa makanan dan bahan mentah untuk kegunaan pusat jagaan serta pemberian hadiah dan saguhati kepada semua anak-anak yatim dan miskin. Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan berharap hubungan bersama Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan dapat diteruskan pada masa akan datang menerusi program susulan.

 

Disediakan oleh :

Muhammad Rahmat Abdullah &

Mohd Safwan Ali Osman