NILAI : 26 JUN 2021, Seramai 39 orang mahasiswa dan mahasiswi dari kursus kokurikulum berkredit Sains Kesukarelawanan (Kumpulan 1) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya merealisasikan projek akhir yang bertemakan Program Tautan Kasih Bersama Komuniti. Program yang dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian menggunakan beberapa jenis platform pembelajaran digital yang berpotensi seperti Google Meet, Zoom Meeting dan Microsoft Teams ini mensasarkan orang awam khususnya golongan remaja, pelajar universiti serta pelajar sekolah rendah dan menengah.
Program ini merupakan salah satu usaha untuk memberi peluang kepada para pelajar menzahirkan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat di samping menerapkan ilmu dan kemahiran insaniah melalui kerja-kerja amal dan kebajikan secara kreatif. Selain itu, ia bertujuan untuk membudayakan amalan sentiasa bersyukur dan berkongsi ilmu melalui aktiviti bermanfaat seperti membimbing bacaan asas Al-Quran dan mengajar ilmu asas Fardhu Ain. Dalam program ini, pelajar dibahagikan kepada tujuh kumpulan dan setiap kumpulan berfokus pada satu aktiviti dan sasaran yang berbeza mengikut kreativiti masing-masing. Antara pengisian aktiviti sukarelawan adalah kelas Bimbingan Asas Bahasa Arab, Jaulah Aulad, Genius Talk, Singkapan Kitab Suci, Kelas Mengaji Percuma, Let’s Volunteer dan Pertandingan Poster Infografik.
Pelbagai usaha dilakukan oleh kumpulan mahasiswa untuk menarik minat dan perhatian orang luar bagi menyertai program yang dirancang. Setiap kumpulan pelajar ini akan menyediakan poster yang kreatif, menawarkan ganjaran atau saguhati yang istimewa serta merancang beberapa aktiviti yang membina dan bersesuaian dengan golongan sasar. Semasa program berlansung, kumpulan mahasiswa yang bertindak sebagai fasilitator ini juga berjaya menyampaikan perkongsian ilmu dengan baik serta menawan hati peserta. Bagi kumpulan yang mengendalikan kelas Bimbingan Asas Bahasa Arab, antara pengisian ilmu yang disampaikan adalah Asas Feel dan Isim, pengenalan warna-warni dalam bahasa arab, asas perbualan dalam bahasa arab, tayangan video dan ibrah serta kuiz bahasa arab dan perbincangan jawapan. Hasil usaha ini menampakkan hasil yang memberansangkan apabila menerima reaksi yang positif daripada orang luar terutama pelajar sekolah dan golongan remaja.
Kesimpulannnya, program ini memberi impak yang sangat positif terhadap diri mahasiswa mahupun golongan sasar yang menyertai. Melalui program ini, ia dapat membentuk sahsiah unggul dalam diri pelajar dan membangunkan kemudahan teknologi sebagai medan berkongsikan maklumat yang manfaat. Sejajar dengan itu, diharapkan program sukarelawan bersama masyarakat seperti ini dapat diperluaskan lagi dalam pelbagai kaedah dan platform supaya ia menjadi satu budaya dan trend di kalangan mahasiswa USIM.