NILAI, 16 Oktober 2024 – Seramai pelajar kursus CTC 1012: Skuad Transformasi Perlindungan Kanak-Kanak, Wanita dan Warga Tua dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program “Rise to Empowerment” bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian. Program ini bertujuan untuk memperkasakan kesedaran pelajar sekolah tentang hak pendidikan dalam kalangan kanak-kanak, khususnya golongan rentan.

Ketibaan para peserta bermula pada jam 8:30 pagi hingga 9:00 pagi dengan diiringi oleh ibu bapa masing-masing. Para peserta disambut mesra oleh ahli jawatankuasa (AJK) bertugas yang mengambil kehadiran di pintu masuk dewan sebelum peserta berkumpul dan beramah mesra bersama fasilitator dari USIM.

Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan sesi ice-breaking seperti handclap dance yang bertujuan merangsang semangat dan keselesaan peserta sebelum dimulakan sesi pembelajaran. Seterusnya, pelajar kursus membentangkan slaid bertajuk “Hak Pendidikan Kanak-Kanak: Cabaran Golongan Rentan” yang mengupas isu hak asasi kanak-kanak, cabaran yang dihadapi serta kesan kekurangan akses pendidikan. Sesi pembentangan dikendalikan oleh AJK Protokol selaku pengacara majlis (MC).

Semasa waktu rehat, para fasilitator mengedarkan nasi lemak dan minuman teh kepada semua peserta. Aktiviti diteruskan dengan pembahagian peserta kepada beberapa kumpulan untuk menyertai permainan interaktif Monopoly. Setiap kumpulan diselia oleh empat fasilitator yang membantu menguruskan permainan dan memantau penglibatan pelajar.

Permainan ini turut disertai oleh pelajar lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan bagi memupuk semangat komunikasi tanpa mengira jantina. Soalan-soalan yang dijawab semasa permainan adalah berdasarkan isi kandungan pembentangan yang telah disampaikan sebelumnya. Sebagai tambahan, peserta turut berpeluang bermain permainan Snakes and Ladders yang bertujuan mengukuhkan kefahaman mereka secara santai dan menyeronokkan.

Sebelum majlis ditutup, para fasilitator mengedarkan borang maklum balas kepada para peserta. Kebanyakan pelajar menyatakan mereka memperoleh ilmu baharu serta seronok dapat berinteraksi bersama fasilitator. Mereka turut memaklumkan bahawa permainan Monopoly mengajar mereka tentang pentingnya kerjasama dalam menyelesaikan tugasan berkumpulan – satu nilai yang boleh diamalkan pada masa hadapan.

Majlis penutup dimulakan dengan ucapan daripada wakil pelajar kursus dan Guru Besar SMK Nilai Impian, diikuti oleh Dr. Fadhilah selaku pensyarah kursus. Hadiah penghargaan turut diberikan kepada peserta yang terlibat aktif sepanjang program, manakala pihak sekolah menerima plak penghargaan dan hamper daripada pihak USIM sebagai tanda penghormatan dan terima kasih.

Program diakhiri dengan bacaan doa penutup dan sesi fotografi. Para pelajar kemudiannya dijemput pulang oleh ibu bapa masing-masing di hadapan sekolah. Sebagai penutup kenangan, para pelajar dan Dr. Fadhilah bergambar bersama di hadapan SMK Nilai Impian sebagai tanda kejayaan pelaksanaan projek akhir kursus.