NILAI, 14 Januari 2025 – Kelas Memanah Kursus CSD1032 K2 berjaya menganjurkan program komuniti bertajuk “Shoot and Play: Archery Fun Day” yang berlangsung di Padang Sasar Memanah, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), bersebelahan pintu pagar kedua Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Program yang bertujuan memperkenalkan sukan memanah kepada pelbagai lapisan masyarakat ini turut menjadi medan pelajar mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang semester. Seramai 30 peserta terlibat, terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah serta mahasiswa universiti.

Antara sekolah yang menyertai program ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks KLIA dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka. Program dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan aktiviti senamrobik yang menceriakan suasana dan membantu memanaskan badan peserta sebelum memulakan sesi memanah.

Sepanjang program, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberi peluang untuk mencuba aktiviti memanah di beberapa checkpoint yang disediakan. Setiap kumpulan dipantau oleh jawatankuasa teknikal bagi memastikan teknik memanah yang betul dapat diterapkan. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah menggalakkan semangat kerjasama berpasukan.

Kemuncak program menyaksikan pertandingan memanah individu diadakan bagi menguji kecekapan peserta. Hadiah disediakan untuk pemanah terbaik manakala setiap kumpulan menerima hadiah penghargaan sebagai tanda sokongan dan dorongan. Semua peserta turut menerima sijil penyertaan sebagai kenangan.

Program diakhiri dengan sesi penutupan rasmi serta sesi bergambar bersama peserta, jawatankuasa dan penasihat program, Ts. Dr. M Norazizi Sham Mohd Sayuti. Momen yang dirakam mencerminkan semangat kesukanan dan jalinan erat antara peserta dan penganjur.

Kejayaan “Shoot and Play: Archery Fun Day” membuktikan bahawa sukan memanah bukan sekadar aktiviti kokurikulum, malah mampu menjadi platform efektif dalam merapatkan hubungan antara pelajar dan komuniti setempat.

Disediakan oleh : Nurul Ainuttaqiyyah Md Tarmizi