Kursus-kursus yang ditawarkan melatih pelajar kepada aktiviti kemasyarakatan. Terdapat 3 kursus yang ditawarkan di bawah teras ini.
Pengurusan Masjid
Pelajar akan diberikan pendedahan tentang keadaan dan kepelbagaian masjid dan peranan yang harus dimainkan oleh pelajar-pelajar sebagai Mahasiswa. Di samping itu para pelajar akan mempelajari dan melakukan analisis mengenai teori pengurusan, teori berorganisasi selain teori komunikasi berkesan sebagai pendedahan kemahiran kerja berpasukan. Para pelajar akan turut melakukan analisis berkaitan cabaran dan keperluan yang dihadapi oleh institusi masjid pada masa kini. Kursus ini merupakan satu nilai tambah yang unik kepada pelajar serta menjadi platform kepada mereka untuk menjadi pemimpin Muslim bersesuai dengan visi dan misi USIM untuk berkhidmat kepada masyarakat Malaysia dan dunia. Kursus ini dikendalikan secara perbincangan dan PBL yang akan menerapkan pemikiran kritis terhadap corak pengurusan sekarang berdasarkan konsep kepimpinan Islam.
Transformasi Perlindungan Kanak-kanak, Wanita dan Warga Tua
Fokus kursus ini adalah golongan kanak-kanak, wanita dan warga tua yang selalu menjadi mangsa pengabaian, penganiayaan, penderaan dan jenayah. Isu golongan ini merupakan isu rentas sempadan dan kadar kejadian seumpama itu juga bertambah setiap tahun. Perbincangan dalam kursus ini meliputi kedudukan kanak-kanak, wanita dan warga tuan dalam Islam dan isu-isu sosial dan kemanusiaan melibatkan golongan kanak-kanak, wanita dan warga tua. Penekanan diberikan kepada punca-punca berlakunya permasalahan serta faktor yang meningkatkan risiko golongan ini terhadap pengabaian, penganiayaan, eksploitasi, manipulasi, penderaan dan menjadi mangsa jenayah. Topik lain yang akan disentuh adalah perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, wanita dan warga tua diperingkat global, serantau dan di Malaysia khususnya. Juga akan diberi perhatian adalah usaha yang boleh dilakukan oleh ahli masyarakat untuk mengatasi masalah atau isu yang melingkari hidup golongan kanak-kanak, wanita dan warga tua bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dan terabai dalam perlumbaan masyarakat mengejar kemajuan. Di akhir kursus ini, pelajar akan menguruskan satu projek akhir sebagai satu kaedah penilaian.
Hafiz Mujtama'i
Kursus ini memberi fokus kepada pemantapan hafazan al-Quran pelajar menerusi sesi tasmi’ dan muraja’ah. Para pelajar juga akan diberikan pendedahan tentang khidmat masyarakat yang berkaitan dengan al-Quran serta mempraktiskan ilmu al-Quran mereka dalam aktiviti kemasyaratan. Di samping itu para pelajar diberi peluang untuk menyumbang ilmu al-Quran yang dimiliki kepada masyarakat.