Pada 6 November yang lalu, program Ziarah Huffaz di Bumi Sabah, anjuran Kursus Hafiz Mujtama’i 5 USIM telah berjaya diadakan di Pondok Tarbiyatun Nisa’, Tuaran, Sabah. Tarbiyatun Nisa’ hanya menempatkan pelajar perempuan sahaja di mana setakat ini, kesemuanya berjumlah 32 orang pelajar.
Program ini bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 9.15 malam.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah, ice breaking bersama peserta, perkongsian ilmu Tajwid oleh Sdr. Abdul Mun’im bin Hilmi, Pop Quiz mengenai asas pengetahuan agama yang dikelolakan oleh Sdr Muhammad Hazrin bin Arifin, Eksplorasi Ilmu dan Show Your Talent di mana peserta-peserta diberi peluang menunjukkan bakat mereka. Penasihat kursus Hafiz Mujtama’i turut mengambil peluang menyampaikan ucapan dan tazkirah ringkas kepada pelajar-pelajar Tarbiyatun Nisa’
Kehadiran rombongan kursus Hafiz Mujtama’i 5 sangat disambut baik oleh pihak Tarbiyatun Nisa’. Mereka menyambut kedatangan kami dengan sedikit jamuan makan malam dan sesi perkongsian mengenai latar belakang pelajar-pelajar Tarbiyatun Nisa’ oleh Ust Abdul Halim bin Abas yang merupakan Penasihat dan juga tenaga pengajar disana pada 5 November 2018 selepas solat Isyak.
Selama lebih kurang 1 hari kami bersama pelajar-pelajar Tarbiyatun Nisa, kami mendapati mereka gembira dengan program ini dengan menunjukkan semangat dan memberikan komitmen dalam setiap aktiviti yang kami laksanakan. Pelajar-pelajar yang begitu dahagakan ilmu ini datang dari pelbagai latar belakang kaum dan keluarga. Ada juga yang datang dari keluarga yang berbeza agama, anak yatim, anak miskin dan pendalaman, anak yang tidak mempunyai kad pengenalan yang menyebabkan mereka tak berpeluang mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah kerajaan. Perkara ini membawa kepada kurangnya kemahiran dalam membaca dan menulis.
Di akhir program, kami barisan pelaksana program merasakan bahawa, agenda menyebarkan pendidikan agama kepada masyarakat Sabah perlu diperluaskan dan dipertingkatkan usahanya. Tidak terhad kepada kawasan bandar dan pekan sahaja, namun masyarakat di pedalaman juga patut diberi perhatian kerana ilmu pengetahuan bermula dari membaca dan menulis merupakan hak manusia itu sendiri. Maka, orang yang berpengetahuan lah yang perlu menyantuni mereka dan menyebarkan ilmu kepada insan yang dahagakannya. Ia juga menjadi usaha dakwah bagi menyebarkan islam kepada masyarakat Sabah.