Home/Aktiviti/Anugerah Khas Ketua Polis Negara: USIM terus cemerlang

TANJUNG MALIM 12 Ogos – Hasil kerjasama erat antara pengurusan, kakitangan dan para pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) USIM melayakkan Kor Suksis USIM menerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara kategori Kor Suksis Universiti Awam Terbaik 2018. Kejayaan ini sekaligus meneruskan kecemerlangan pada tahun lalu apabila turut menerima anugerah yang sama. Hadiah disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhammad Fuzi Harun kepada Komandan Kor Suksis USIM, Profesor Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Anugerah ini disampaikan semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam kali ke-14 bertempat di Universiti Pendidikan Sultan pada Ahad (12 Ogos). Pada majlis ini, seramai 1285 pelatih Kor Suksis dari 19 buah Universiti Awam telah ditauliahkan dan menerima sijil masing-masing sebagai Inspektor Sukarelawan Polis daripada Ketua Polis Negara termasuk 68 orang daripadanya adalah siswa USIM.

Ketua Polis Negara dalam ucapannya meletakkan harapan ahli-ahli Kor Suksis yang menamatkan latihan ini akan menjadi graduan yang cemerlang yang memiliki pengetahuan undang-undang, berdisiplin tinggi dan berketerampilan kerana menjadi generasi yang akan memimpin negara di masa depan.

“Saya yakin dan percaya ahli Kor Suksis UA akan menjadi pemangkin ke arah mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan selamat serta membantu PDRM” tambahnya.

Majlis pentauliahan ini juga amat bermakna buat tiga orang pelatih Kor Suksis USIM apabila dipilih menerima anugerah atas kecemerlangan masing-masing. Muhammad Hakimi Ghazali, pelajar Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dipilih Pelatih Terbaik Keseluruhan dan rakannya Muhammad Syafiq Abdullah, pelajar Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko menerima anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar. Manakala anugerah Pelatih Terbaik Latihan Akademik pula diterima oleh Muhamad Nur Fitri Mat Rani yang mengambil jurusan Perbankan dan Kewangan Islam.

Bagi Muhammad Hakimi, pemilihannya sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan merupakan pencapaian yang tidak disangka beliau apabila menyertai Kor Suksis dan amat gembira menerimanya. “Alhamdulillah, sentiasa mendengar arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam tugasan diberi memberi rezeki kepada saya untuk menerima anugerah ini.” ujar beliau.

“Saya mewakili Pengurusan Universiti amat berbangga dengan kejayaan Kor Suksis USIM dan para pelajar kita hari ini. Ini hasil komitmen dan disiplin tinggi yang sentiasa diberikan mereka sepanjang mengikuti latihan”.

“Kejayaan ini juga terhasil dari kerjasama erat oleh pengurusan Kor Suksis kita yang terdiri daripada pegawai penyelaras, pegawai kehormat dan paling utama barisan jurulatih yang tidak jemu berkongsi pengalaman dan ilmu mereka dengan para pelatih,” ulas Profesor Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Pentauliahan kumpulan (kohot) kesepuluh Kor Suksis USIM pada tahun ini menjadikan seramai 574 Inspektor Sukarelawan Polis telah dilahirkan oleh USIM sejak pengambilan kumpulan sulung pada 2006. Kor Suksis merupakan salah satu kursus badan beruniform berkredit yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM. Siswa universiti yang dipilih oleh PDRM untuk menjadi pelatih akan mengikuti kursus dan latihan selama enam semester (tiga tahun) sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti sebelum ditauliahkan.

Selain mengikuti modul kepolisan yang ditetapkan, pelajar Kor Suksis USIM turut aktif dalam program khidmat komuniti luar negara di bawah Global Islamic Student Outreach (GISO) serta terlibat dalam menjayakan pelbagai program utama di dalam universiti antaranya Majlis Konvokesyen, kawalan keselamatan, perbarisan serta program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

USIM menjadi IPTA pertama di Negeri Sembilan yang menubuhkan Kor Suksis ini memperlihatkan penerapan nilai kepolisan di kalangan peserta terpilih telah diberikan keutamaan supaya setiap peserta dapat memberikan keterampilan dan ketahanan mental serta displin yang tinggi. – UTUSAN ONLINE

2018-08-29T10:10:03+08:00