SEREMBAN – Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Skuad 18, mengharumkan nama universiti apabila muncul sebagai Johan Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negeri Sembilan dalam pertandingan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026.
Kor SUKSIS USIM yang mewakili Kontinjen USIM berjaya menampilkan persembahan perarakan yang penuh disiplin, tersusun dan bertenaga, sekali gus membuktikan tahap komitmen serta semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan para pelatih.
Pencapaian tersebut turut mencerminkan kesungguhan Kor SUKSIS USIM dalam memperkukuh pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan dan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan usaha universiti melahirkan graduan yang holistik dan berkualiti.
Kejayaan Skuad 18 ini menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat USIM, khususnya dalam menyemarakkan semangat cintakan negara serta memperlihatkan penglibatan aktif mahasiswa dalam program kenegaraan di peringkat negeri.
Seluruh warga USIM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kor SUKSIS USIM Skuad 18 atas kejayaan tersebut. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan serta mengharumkan nama USIM di peringkat yang lebih tinggi.