NILAI, 27 April 2019 – Telah berlangsung Program ‘House Of Chess II’ bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia. Program yang telah dianjurkan adalah hasil kerjasama antara Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dan mahasiswa Kursus Ko-kurikulum Catur. Penyelaras bagi program ini ialah Dr. Norhidayah binti Azman. Program ini bermula dari jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang. Program yang dianjurkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang berbilang kaum. Pada masa yang sama, mahasiswa USIM juga turut melibatkan diri bagi memeriahkan suasana pada hari tersebut.
Tujuan utama bagi program ini diadakan adalah tidak lain tidak bukan untuk membuka minda masyarakat tentang keseronokan permainan catur ini di samping dapat membentuk minda untuk berfikiran luas. Selain itu, dengan adanya program ini sedikit sebanyak dapat memberi tunjuk ajar kepada para peserta yang sememangnya mempunyai keinginan untuk bermain catur tetapi tidak berpeluang untuk mendapatkannya. Seterusnya, program ini diharapkan dapat menggilap minat para peserta untuk menyerlahkan bakat terpendam mereka di samping dapat menambah kreativiti dan inovasi dalam diri setiap peserta.
Program ini dimulakan dengan pendaftaran para peserta yang bermula jam 8.30 pagi hingga jam 9.00 pagi. Kemudian, program ini diteruskan dengan acara Blitz Competition yang bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Acara Blitz ini mempunyai 9 pusingan dan setiap pusingan memerlukan para peserta untuk bermain selama 5 minit. Seramai 38 orang peserta terdiri daripada orang awam dan mahasiswa USIM telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan acara berlangsung dengan jayanya. Seterusnya, berlangsung acara penyampaian hadiah pada jam 12.00 tengah hari yang disampaikan oleh Encik Azman Bin Osman. Acara ini telah dimenangi oleh Encik Afdal Bin Noor Azman yang memenangi kesemua sembilan pusingan. Kemudian para peserta berehat untuk makan tengah hari dan solat pada jam 12.30 tengah hari hingga jam 2.00 petang sebelum acara seterusnya bermula.
Program ini diteruskan dengan acara Chess Team 2-by-2 pada jam 2.00 petang. Acara ini memerlukan 2 orang dalam satu pasukan. Terdapat 12 pasukan iaitu seramai 24 orang peserta yang menyertai acara tersebut di mana setiap pasukan mempunyai 4 pusingan dan setiap pusingan berlangsung selama 10 minit. Acara ini mempunyai sedikit kelainan iaitu kerjasama yang padu amat diperlukan dalam berfikir kerana para peserta tidak dibenarkan bercakap. Daripada situasi ini, dapat dilihat setiap pasukan bermain dengan penuh bersemangat untuk mendapatkan rentak dalam mengekalkan momentum ketika bermain.
Team Chess Puzzle merupakan acara terakhir program ini. Acara ini telah berjaya menarik seramai 22 orang peserta dan telah membentuk 11 pasukan. Para peserta diminta untuk menyelesaikan beberapa permainan puzzle yang disediakan dan jawapan mereka dinilai berdasarkan masa yang paling pantas dan jawapan yang paling tempat. Sebagai penutup, pada jam 4.00 petang telah berlangsungnya penyampaian hadiah kepada para pemenang acara team 2-by-2 yang dimenangi oleh pasukan Encik Afdal Bin Noor Azman dan Dr. Fadzli Marhusin dan bagi Team Chess Puzzle pula dimenangi oleh Ayeesha Qistina Bt Azman dan kembarnya Ayeesha Qaisara Bt Azman. Program ini tamat dengan meriahnya pada jam 5.00 petang.
Program ini diharapkan dapat memberi manfaat, pengalaman dan minat para peserta terhadap permainan catur. Pihak penganjur juga berharap dan akan melakukan penambahbaikan bagi menarik lebih ramai lagi peserta untuk menyertai program seperti ini pada masa akan datang. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program ‘House Of Chess II’ ini.