19 Jun 2021, Sabtu – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah komited (PPKI) dalam memperkasa mahasiswanya dengan nilai tambah dan kemahiran sebagai mahasiswa USIM. Ini kerana peranan kumpulan mahasiswa ini mampu menyumbang ke arah pembangunan dan kestabilan negara. Untuk itu, Kursus Pengurusan Masjid PPKI mengambil inisiatif melaksanakan program yang bertajuk Indahnya Istiqamah Manisnya Karamah bagi melengkapkan tugasan akhir berkumpulan secara efektif dan intelektual yang dikawal selia oleh PPKI serta dibimbing dan dipantau oleh Jurulatih Kursus iaitu Ustaz Muhammad Nur Fathi Mohd @ Mohamad. Kursus Pengurusan Masjid (CTB1012) merupakan kursus kokurikulum berkredit yang ditawarkan di bawah Teras Khidmat Komuniti kelolaan PPKI. Kursus ini ditawarkan kepada pelajar USIM sebagai salah satu pilihan Kursus Kokurikulum Berkredit yang menjadi syarat untuk bergraduasi kelak. Oleh itu, pelajar yang mengambil Kursus Pengurusan Masjid adalah wajib melaksanakan satu (1) projek akhir sebagaimana yang dirancang dalam silibus Kursus Pengurusan Masjid bagi memenuhi struktur modul OBE kursus ini.
Peranan utama mahasiswa USIM ini adalah untuk menjadi nadi penggerak kepada program-program yang berkonsepkan khidmat komuniti (people centered) dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berdakwah yang berkonsepkan orientasi nilai (value oriented) melalui kemahiran insaniah (Soft Skill) dan nilai tambah (value added). Dalam konteks santunan USIM terhadap masyarakat awam, program Indahnya Istiqamah Manisnya Karamah dianjurkan bertujuan memberikan pendedahan mengenai kepentingan istiqamah terutamanya dalam pembinaan sahsiah diri dan pembentukan mukmin sejati dalam kehidupan seharian serta menjadi satu wadah, memperjelas dan berkongsi ilmu serta pengalaman dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran istiqamah.
Antara impak program ini kepada ahli jawatankuasa ialah melahirkan mahasiswa yang mampu berkomunikasi dengan baik dan kreatif, cekap berkhidmat kepada masyarakat serta menerapkan semangat berpasukan dan kerjasama yang baik antara mahasiswa. Program Indahnya Istiqamah Manisnya Karamah ini menggunakan platform Facebook dan Streamyard. Program dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pertama, ceramah dan sesi kedua, sesi soal jawab. Program ini berlangsung pada 19 Jun 2021 hari Sabtu dari jam 9 malam sehingga 10.30 malam. Sebelum program tamat, seramai enam peserta bertuah telah dipilih berdasarkan google form pada malam tersebut. Hadiah yang ditawarkan berupa set sejadah dan minyak wangi, touch lamp Al-Quran, telekung Siti Khadijah, air humidifier serta 2 lampu lurkee. Turut hadir bersama dalam program tersebut ialah Dr. Dina Imam Supaat, Pengarah PPKI dan juga Dr. Haliza A. Shukor, Penyelaras Teras 1.
Projek akhir yang dilaksanakan secara dalam talian ini juga telah berjaya mencapai target yang telah ditetapkan iaitu memperolehi sekurang-kurangnya 1,000 views dan 500 likes dalam satu tempoh masa yang ditetapkan. Lebih membanggakan program ini telah mendapat 2.3k views dan 513 likes daripada para penonton. Program ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama yang jitu daripada barisan Majlis Tertinggi (MT) program dan juga ahli jawatankuasa yang lain. Seramai 39 orang pelajar telah terlibat dalam pelaksanaan program. Sebarang masalah yang berlaku sama ada semasa, ketika atau selepas program berlangsung dapat diatasi dengan sebaik mungkin.