NILAI, 4 Januari 2025 – Seramai 29 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada Kumpulan 1 Kursus Memanah (CSD1032), Sesi Akademik A241 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan sebuah program bertemakan “From Novice to Archer” yang berlangsung di Padang Sasar Memanah, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Pagar 2, USIM.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan pelajar USIM malah turut menarik penyertaan daripada masyarakat luar kampus. Bertujuan memberikan pendedahan asas berkenaan teknik memanah yang betul, program ini juga diadakan bagi memupuk minat serta mempromosikan sukan memanah sebagai sebahagian daripada identiti komuniti setempat.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan, sesuai untuk peserta daripada pelbagai peringkat umur. Antaranya termasuk:

  • Sesi pengenalan asas memanah

  • Demonstrasi cara memegang busur

  • Slot kuiz interaktif ‘Bijak Pandai Archery’, yang dikolaborasikan dengan permainan ‘TicTacToe’

  • Pertandingan memanah ‘The Last Airbender Mini Games’ yang menguji ketepatan dan kemahiran peserta

Program yang bermula pada awal pagi itu berakhir sekitar jam 1.00 tengah hari dengan majlis penyampaian hadiah kepada semua kumpulan peserta sebagai penghargaan dan galakan terhadap penglibatan aktif mereka.

Program “From Novice to Archer” berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan menerima maklum balas yang positif daripada para peserta. Rata-rata peserta menyatakan program ini sebagai satu platform yang bermanfaat dan menyeronokkan dalam memahami asas sukan memanah.

Penganjur program, yang terdiri daripada pelajar Kumpulan 1 Kursus Memanah (CSD1032), turut menyatakan harapan agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan dan dikembangkan, sekaligus membuka ruang menjadikan sukan memanah sebagai antara acara tetap dalam takwim aktiviti komuniti dan universiti.