NILAI, 11 Januari 2025 – Kursus Pengurusan Masjid (CTB1012) Kumpulan 1 dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan Program Bijak Al-Quran bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM. Program ini telah menarik penyertaan seramai 66 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia antara 6 hingga 15 tahun.

Dengan tema “Bijak Al-Quran”, program ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap kitab suci Al-Quran, memperbaiki mutu bacaan serta meningkatkan kefahaman ilmu tajwid dalam kalangan peserta sejak usia muda.

Program bermula seawal jam 8:00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti aktiviti ice-breaking bagi mewujudkan keserasian dan suasana mesra antara peserta dan fasilitator. Aktiviti diteruskan dengan Kelas Bijak Al-Quran yang dikendalikan oleh Dr. Mohd Sobri Ellias, pensyarah dari Fakulti Quran dan Sunnah, USIM. Dalam sesi ini, beliau menyampaikan pengajaran berkaitan tajwid dan tahsin Surah Al-Fatihah. Sesi selama satu jam ini mendapat sambutan hangat dan penuh perhatian daripada para peserta.

Menjelang jam 10:00 pagi, aktiviti diteruskan dengan Eksplorasi Bijak Al-Quran, satu bentuk permainan interaktif berkonsepkan pendidikan yang melibatkan tujuh checkpoint. Peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada tujuh orang peserta. Di setiap checkpoint, peserta diuji dengan pelbagai cabaran yang menggabungkan elemen ilmu tajwid, daya ingatan, kerjasama dan kreativiti untuk mengumpul markah secara berkumpulan.

Majlis kemuncak program berlangsung pada sebelah petang dengan sesi penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik, yang disempurnakan oleh Pengarah Program, Muhammad Adib Syamal bin Norzaidi. Program diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai sebagai kenangan manis buat semua peserta dan penganjur.

Penganjuran Program Bijak Al-Quran ini diharap dapat memberi impak positif kepada peserta dalam memperbaiki bacaan Al-Quran dan memperkukuh pemahaman asas ilmu tajwid. Usaha ini juga sejajar dengan misi USIM untuk membentuk generasi muda berilmu, beradab dan berteraskan nilai-nilai Islam.