NILAI, 8 Januari 2025 – Sebanyak 24 peserta dan 34 ahli jawatankuasa pelaksana daripada kalangan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terlibat dalam Program Jejak Warisan Alam, yang dianjurkan oleh pelajar Kursus Fotografi (Kumpulan 2) di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM. Program ini merupakan projek akhir kursus yang bertujuan untuk memperkukuh kemahiran fotografi di samping mempromosikan seni fotografi sebagai medium ekspresi kreatif dan dokumentasi bermakna.

Bertempat di Bukit Melati, Nilai, program ini berlangsung selama sehari, bermula jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Selain memberi pendedahan praktikal tentang teknik fotografi alam semula jadi, program ini turut mendorong peserta agar lebih peka terhadap aspek pencahayaan, sudut pengambilan gambar dan pemilihan subjek yang sesuai.

Perjalanan program bermula seawal jam 7.00 pagi dengan ketibaan peserta di perkarangan Kolej Kediaman Aminuddin Baki (KKAC) sebelum bertolak ke Bukit Melati. Setelah sesi pendaftaran, peserta menjalani aktiviti pemanasan badan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Aktiviti, diikuti taklimat keselamatan oleh Jawatankuasa Keselamatan sebelum memulakan pendakian pada jam 8.30 pagi.

Pendakian yang diketuai oleh Jawatankuasa Aktiviti ini turut melibatkan beberapa checkpoint yang dipantau oleh ahli jawatankuasa bertugas. Sepanjang pendakian, peserta dikehendaki merakam gambar berdasarkan tugasan yang telah ditetapkan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal peserta, malah turut menekankan aspek kerjasama, pengurusan masa dan komunikasi berkesan antara ahli kumpulan.

Tiga kumpulan dengan hasil fotografi terbaik diumumkan sebagai pemenang dan menerima hadiah berupa hamper. Majlis penyampaian hadiah diadakan sebagai penutup program, diikuti dengan sesi fotografi kenangan bersama peserta, ahli jawatankuasa serta tenaga pengajar. Program berakhir dengan pengagihan makanan oleh Jawatankuasa Makanan sebelum semua peserta bersurai pada jam 12.00 tengah hari.

Menurut maklum balas yang diterima, peserta amat berpuas hati dengan penganjuran program ini, khususnya dari segi teknik fotografi yang diajar dengan jelas dan mudah difahami. Program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, tetapi juga menanamkan kesedaran tentang kepentingan memelihara keindahan alam semula jadi.

Secara keseluruhan, Program Jejak Warisan Alam telah mencapai objektif penganjuran dengan jayanya dan menjadi satu platform bermakna kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri melalui bidang fotografi dalam suasana yang santai dan bermanfaat.