NILAI, 17 Disember 2025 – Seramai 14 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Program Sentuhan Kasih USIM Feat IDEAS yang berlangsung di IDEAS Autism Centre, Nilai baru-baru ini. Program anjuran Kursus Sains Kesukarelawanan di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM dengan kerjasama IDEAS Autism Centre ini bertujuan menyemai nilai kemanusiaan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti khidmat masyarakat yang memberi manfaat kepada komuniti.

Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang itu memberikan peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak autisme melalui pelbagai aktiviti yang dirancang khusus bagi merangsang perkembangan fizikal, sosial dan emosi mereka. Di samping itu, program ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan komuniti yang membolehkan mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

Menurut pihak penganjur, program ini dirangka bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa agar lebih peka terhadap keperluan masyarakat, khususnya golongan berkeperluan khas. Penglibatan secara langsung dalam aktiviti komuniti juga membantu membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah secara beretika.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Berjalan Atas Titi, yang bertujuan membantu kanak-kanak membina keyakinan diri, meningkatkan keseimbangan badan dan mengawal pergerakan dengan lebih baik. Aktiviti ini mendapat sambutan yang baik apabila para peserta menunjukkan kesungguhan dan keberanian dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan.

Selain itu, aktiviti Gotong-Royong turut dilaksanakan dengan penglibatan sukarelawan mahasiswa yang bersama-sama membersihkan kawasan taman dan mencabut tumbuhan yang telah mati. Aktiviti tersebut bukan sahaja menceriakan persekitaran IDEAS Autism Centre, malah berjaya memupuk nilai kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan peserta.

Mahasiswa juga mengendalikan aktiviti Lukisan Tangan yang memberi peluang kepada kanak-kanak menghasilkan karya seni menggunakan cap ibu jari pada kanvas berbentuk hati. Aktiviti kreatif ini membantu merangsang perkembangan motor halus serta memberi ruang kepada kanak-kanak mengekspresikan diri melalui seni.

Dalam masa yang sama, aktiviti Membaling Bola telah dijalankan bagi meningkatkan koordinasi mata dan tangan serta kemahiran pengecaman warna. Kanak-kanak diminta memasukkan bola plastik berwarna ke dalam kotak yang sepadan dengan warna bola tersebut, sekali gus melatih fokus dan keupayaan mereka mengikuti arahan.

Turut mendapat perhatian ialah aktiviti Menampal Sambil Mengira, yang direka untuk meningkatkan kemahiran numerasi asas. Kanak-kanak diminta menampal kertas berbentuk rama-rama pada lukisan pokok mengikut nombor yang ditetapkan. Aktiviti ini berjaya mengukuhkan kemahiran mengira, mengenal nombor dan meningkatkan daya tumpuan mereka dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Secara keseluruhannya, Program Sentuhan Kasih USIM Feat IDEAS berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberikan pengalaman bermakna kepada mahasiswa dan komuniti setempat. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kemanusiaan, empati dan semangat kesukarelawanan yang tinggi selaras dengan aspirasi USIM dalam melahirkan insan seimbang dan berakhlak mulia.