NILAI, 30 NOVEMBER 2019 – Bengkel Lakon Layar Media Kreatif selama 8 jam ini telah dianjurkan oleh 29 orang pelajar Kursus Kokurikulum Media Kreatif (CIB1022), Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bertempat di Fakulti Pendidikan Quran dan Sunnah, USIM. Bengkel ini merupakan salah satu program rasmi Kursus Kokurikulum Media Kreatif (CIB1022) di bawah Teras Kebudayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), USIM dengan penglibatan daripada 30 orang pelajar Maahad Tahfiq Al-Quran An-Najihah.

 

Objektif program ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada para peserta mengenai bidang kreatif melalui Bengkel Lakon Layar yang disampaikan oleh Jurulatih Kursus Kokurikulum Media Kreatif, Encik Shahreza Mohamedin. Program ini memberi tumpuan khusus kepada pelajar kerana ingin memberi motivasi dan dorongan kepada peserta untuk menceburi bidang-bidang kreatif dengan lebih mendalam.

 

Lakon layar atau skrip ialah cetakan atau perancangan yang ditulis oleh penulis untuk menceritakan sebuah cerita, drama, telemovie atau filem untuk menghasilkan media yang kreatif. Skrip merupakan naskhah awal yang perlu ada sebelum sesebuah produksi menjalankan penggambaran cerita yang hendak diterbitkan. Lakon layar boleh terhasil dalam bentuk olahan asli atau adaptasi daripada penulisan yang sedia ada.

 

Sehubungan dengan itu, para fasilitator yang terdiri daripada pelajar kursus Media Kreatif berkolaborasi dengan para peserta bermula daripada perbincangan skrip, latihan lakon layar dan penggambaran video bersama mereka. Dengan adanya program seperti ini, para fasilitator dapat menjadikan program ini sebagai platform untuk menterjemahkan ilmu yang dipelajari dan para peserta dapat pendedahan yang lebih jelas tentang bidang kreatif.

 

Program ini telah memberi impak kepada para peserta dan fasilitator dalam meningkatkan keyakinan diri mereka untuk menceburi bidang-bidang kreatif pada masa hadapan. Secara tidak langsung, bidang kreatif dapat diangkat lebih tinggi di kalangan rakyat Malaysia mahupun dunia.