KUALA LUMPUR, 3 April 2019 –  Pelajar Kursus Kokurikulum Seni Lukis Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai program lawatan Eksplorasi Kebolehpasaran Seni Lukis dalam Industri di Putra World Trade Centre (PWTC). Objektif utama lawatan ini diadakan adalah untuk menarik minat pelajar terhadap terhadap bahan-bahan bacaan dan karya seni. Selain itu, untuk mengenali tokoh-tokoh karya seni penulisan. Para peserta juga dapat melihat kebolehpasaran bidang seni lukis dalam industri negara pada masa kini.

Program yang bermula jam 2.00 petang ini telah dimanfaatkan oleh peserta dengan mengadakan lawatan ke booth-booth pelukis dakwah yang terkenal. Peserta program dapat mengenali, menimba ilmu dan pengalaman dari kartunis dan pelukis berkonsepkan dakwah. Antara beberapa orang pelukis yang sempat di temu bual ialah kartunis Paeh, IF Moses, dan Nazr Syaff dari Daie Creative Venture yang sentiasa menerbitkan komik berbentuk dakwah. Diantara karya yang menjadi perhatian adalah God Centric, Komik Gaza dan Bikin Baper. Para peserta juga diberi pendedahan tentang gaya dan olahan komik yang dapat memberi impak kepada pembaca.

Peserta juga diberi peluang untuk melawat booth-booth buku yang lain. Hasil dari pemerhatian sepanjang sesi lawatan ini, peserta dapat melihat bagaimana persaingan sihat berlaku dalam industri buku yang melibatkan seni lukis.