28 Jun yang lalu, mahasiswa dari Kursus Catur, CSD1012 (Kumpulan 3) Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Program iChess secara dalam talian yang telah dimuat naik di laman YouTube PPKI. Program ini telah diselaras dan dibimbing oleh Encik Muin bin Yahaya dan dilaksanakan oleh mahasiswa-mahasiswa kursus ini dengan jayanya. Melalui program iChess ini, para mahasiswa yang terlibat telah menghasilkan lapan video pendek berkaitan catur iaitu tentang sejarah permulaannya, pengenalan kepada cara bermain, strategi bermain catur dan juga turut dikongsikan berkenaan aplikasi-aplikasi permainan catur dalam talian. Program ini mendapat sambutan yang memuaskan daripada setiap lapisan umur masyarakat luar dan para pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia sendiri.

Perlaksanaan program ini adalah berlandaskan kepada objektif program seperti yang telah dinyatakan dalam kertas kerja program iaitu memperkenalkan serba sedikit latar belakang permainan catur untuk menambah pengetahuan masyarakat berkaitan permainan catur. Selain itu, mengajar masyarakat berkaitan beberapa teknik asas dalam permainan catur dan selanjutnya, membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan kreativiti masing-masing melalui pembuatan video pendek tersebut.

Program ini dilaksanakan dalam bentuk video bagi menggantikan perlaksanaan program yang sepatutnya dijalankan secara fizikal atau bersemuka kerana kekangan yang diperoleh daripada situasi pandemik Covid-19 kini. Setiap kumpulan ditugaskan untuk menghasilkan projek video mereka dan seterusnya dikongsikan secara umum di laman YouTube PPKI selama tempoh tiga minggu. Dalam tempoh tersebut, terdapat banyak maklum balas serta komen-komen positif yang diterima daripada orang awam serta pelajar USIM sendiri terhadap video-video yang dikongsikan. Maklum balas yang positif tersebut merangkumi isi kandungan video yang jelas dan efektif, kemahiran dalam menyunting video serta mendapat sokongan untuk terus membuat perkongsian yang berilmiah sebegini.
Setelah tempoh 3 minggu tersebut, jumlah tontonan yang diperoleh oleh kumpulan pertama untuk video mereka yang bertajuk “Basic Moves: Beginner Tutorial” telah mendapat sebanyak 1176 tontonan serta 281 penggemar. Kumpulan kedua, video mereka yang bertajuk “How to Defence in Chess” telah mendapat sebanyak 1047 tontonan serta 412 penggemar. Kumpulan ketiga, video mereka yang bertajuk “The Rules of Chess” telah mendapat sebanyak 766 tontonan serta 236 penggemar. Kumpulan keempat, video mereka yang bertajuk “Opening Chess” telah mendapat sebanyak 176 tontonan serta 15 penggemar. Kumpulan kelima, video mereka yang bertajuk “Chess Tools” telah mendapat sebanyak 534 tontonan serta 270 penggemar. Kumpulan keenam, video mereka yang bertajuk “Chess History” telah mendapat sebanyak 326 tontonan serta 159 penggemar. Kumpulan ketujuh, video mereka yang bertajuk “Checkmate Tricks” telah mendapat sebanyak 1127 tontonan serta 591 penggemar. Kumpulan yang terakhir iaitu kumpulan kelapan, video mereka yang bertajuk “Chess Strategy” telah mendapat sebanyak 128 tontonan serta 42 penggemar.

Program ini diharapkan dapat memberi manfaat, pendedahan, menarik minat serta mengubah persepsi negatif para penonton terhadap permainan catur. Pihak penganjur juga berharap agar sokongan padu daripada semua pihak mampu meningkatkan lagi semangat untuk melakukan penambahbaikan bagi menarik lebih ramai lagi peserta yang menyertai program seperti ini pada masa akan datang. Pihak daripada Kursus Catur Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga mengucapkan jutaan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Muin bin Yahaya dan pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan serta melengkapkan Program iChess bagi tahun sesi 2020/2021 ini.