NILAI – Sekumpulan 35 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengambil Kursus Kokurikulum Debat Bahasa Melayu yang tawarkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Program Ramah Mesra bersama Aanak Yatim pada 14 Januari 2023 lalu.

Program ini diadakan bertempat di Rumah Anak Yatim dan Miskin Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Taman Semarak, Nilai Negeri Sembilan. Seramai 55 penghuni rumah anak yatim berkenaan disantuni oleh mahasiswa USIM ini melalui pelbagai bentuk aktiviti yang disediakan khas buat mereka.

Antara objektif program ramah mesra ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kemahiran komunikasi serta mendapatkan pengalaman dalam menganjurkan sesuatu program selain menjadi platform untuk memberi sokongan moral kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Menurut Pengarah Program, Mior Danial Haiqal Mior Shafizul,19, program ini memberi pengalaman yang menarik kepada beliau dan rakan-rakan kerana berpeluang mendekati dan menyantuni anak-anak yatim dan miskin.

Tambahnya lagi, untuk menjadikan program ini meninggalkan impak yang positif kepada anak-anak kecil ini, tiga aktiviti utama telah dijalankan bersama para penghuni rumah anak yatim berkenaan iaitu Aktiviti 2 in 1, Musafirul Ma’ dan melukis. Selain itu, setiap penghuni ini turut dibahagikan sejak awal program kepada beberapa kumpulan kecil dengan mahasiswa USIM menjadi fasilitator bagi setiap kumpulan ini.

“Melalui sesi pengenalan, perkongsian dan aktiviti dalam kumpulan, kita sebagai mahasiwa dapat menyelami dengan lebih mendalam kisah setiap anak-anak yatim dan miskin yang berada di sini. Di sini kemahiran komunikasi yang dipelajar melalui Kursus Debat Bahasa Melayu dapat dipratikkan untuk menarik perhatian mereka” ulas Mior Danial Haiqal yang merupakan penuntut tahun pertama di Fakulti Syariah dan Undang-undang.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Encik Mohd Zaini Othman yang merupakan tenaga pengajar kursus ini dan pegawai tadbir di USIM. Dalam amjlis tersebut, selain penyampaian hadiah kepada anak-anak yatim dan miskin, turut disampaikan adalah sumbangan tunai yang dikumpul hasil inisiatif para pelajar ini.