LABU, 30 NOVEMBER 2019 – Telah berlangsungnya Program Pemantapan Ibadah (Alpha Havoc) yang dianjurkan oleh mahasiswa dan mahasiswi Kursus Kokurikulum Nasyid Kumpulan 1 yang bertempat di Masjid Pasir Putih, Batu 8, Labu, Negeri Sembilan. Program yang telah berlangsung ini adalah hasil kerjasama bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI). Penyelaras bagi program ini ialah Encik Huzaimi Bin Mohd Zaini selaku Jurulatih kursus. Program ini telah dilaksanakan dari jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Program yang dianjurkan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 9 hingga 12 tahun di sekitar Masjid Pasir Putih, Batu 8 tersebut.

Objektif utama bagi program ini dilaksanakan adalah merancang, memimpin, melaksana program, bekerjasama dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan. Selain itu, program ini juga dapat memupuk rasa keprihatinan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara peserta di Masjid Pasir Putih, Batu 8, Labu, dengan mahasiswa dan mahasiswi Kursus Nasyid. Seterusnya, ianya juga dapat memberi pendedahan kepada peserta Program Pemantapan Ibadah (Alpha Havoc) tentang tanggungjawab sosial terhadap ahli kumpulan masing-masing. Akhir sekali, dengan adanya program ini, peserta dapat menanam perasaan cinta akan ilmu bahasa dan ilmu kerohanian.

Program ini dimulakan dengan mahasiswa dan mahasiswi kursus bertolak ke Masjid Pasir Putih Batu 8, Labu pada jam 6.30 pagi. Seramai 30 orang mahasiswa dan mahasiswi Kursus Nasyid yang mengikuti program ini serta diiringi oleh seorang Jurulatih kursus. Pada jam 8.30 pagi, program dimulakan dengan senaman aerobik. Seterusnya, majlis bermula dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi masjid, ucapan pengarah program dan akhirnya program dirasmikan oleh Tuan Mokhtar bin Ahmad selaku Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan. Setelah selesai perasmian, program disambung dengan aktiviti pemecahan kumpulan peserta dan pembahagian fasilitator untuk setiap kumpulan. Selepas peserta masuk ke dalam kumpulan masing masing, slot pertama dimulakan dengan slot “Oh My Solat” dimana para peserta didedahkan dengan perkara perkara tentang solat dan wudhu’. Kemudian, para peserta dan fasilitator berehat, makan tengahari dan solat berjemaah. Selesai solat, program diteruskan lagi dengan aktiviti explorace. Explorace bermula pada jam 2.00 petang dimulai dengan taklimat ringkas mengenai eksplorace. Sebanyak 6 checkpoint yang ditubuhkan oleh para fasilitator dalam eksplorace ini. Para peserta dapat menjalani eksplorace dengan baik. Aktiviti diteruskan lagi dengan slot seterusnya iaitu slot “Row-row your English”. Para peserta diminta untuk membuat satu bulatan besar di mana mereka perlu menjawab soalan yang diberikan oleh fasilitator untuk dijawab. Akhir sekali, program dilanjutkan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penyampaian sijil kepada para peserta dan sijil penghargaan kepada pihak masjid. Program ini tamat dengan meriahnya pada jam 5.30 petang dan dilanjutkan dengan sesi bergambar.

Program Pemantapan Ibadah (Alpha Havoc) ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara mahasiswa dan mahasiswi Kursus Kokurikulum Nasyid serta mengenali dan merapatkan hubungan dengan penduduk Kampung Pasir Putih, Batu 8. Pihak penganjur juga berharap dapat melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Pemantapan Ibadah(Alpha Havoc) ini.