Program “Penghayatan Alam : Sains Dan Al-Quran Berpisah Tiada” telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan kira-kira 250 murid tingkatan 1 dan 2 bertempatkan di SMK Nilai Impian pada 25 Januari 2023. Program ini telah dijayakan oleh para pelajar kursus Kokurikulum Pementoran Stream untuk Makmal Sains Sekolah Menengah yang merupakan pelajar kohort pertama bagi kursus ini. Pelaksanaan program berteraskan gabungan ilmu Aqli dan Naqli bertujuan memberi kesedaran kepada para murid wujudnya perkaitan antara ilmu sains dan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Modul pertama yang dijalankan ialah Gunung Berapi. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan projek ini adalah daripada barangan kitar semula seperti botol, kertas dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan letusan gunung berapi seperti natrium bikarbonat dan juga cuka. Majoriti kumpulan pelajar berjaya dalam meletuskan gunung berapi mereka dan ada juga yang tidak berjaya tetapi mereka tidak putus asa untuk menjayakannya.

Modul seterusnya ialah roket air atau diberi tajuk Momentum to The Sky. Dalam projek ini, pelajar perlu menghasilkan sebuah roket daripada botol dan kadbod. Gas butana digunakan untuk melancarkan roket air dengan mudah. Para pelajar terlihat teruja untuk melancarkan roket masing-masing sehingga mereka berpusu-pusu untuk melancarkannya. Walaupun tidak semua kumpulan yang berjaya melancarkan roket dengan baik, akan tetapi semua pelajar berasa gembira dan seronok.

Modul yang terakhir iaitu modul Squishy Depot. Dalam aktiviti ini, murid perlu membuat slime. Setiap kumpulan diberi satu kit khas yang terdapat isi di dalamnya bahan untuk membuat slime. Bahan utama yang digunakan ialah, Polyvinyl Alcohol (PVA) dan Borax. Apa yang menariknya di sini, mereka menggunakan kit yang mudah dikendalikan oleh pelajar. Terpampang jelas keseronokan apabila mereka dapat menghasilkan tekstur slime yang dikehendaki iaitu lembut dan kenyal. Bukan pelajar perempuan sahaja yang berminat untuk bermain dengan slime, malah pelajar lelaki juga kelihatan teruja.

Akhir kalam, setelah menilai data daripada borang maklum balas, peserta amat berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan malah para peserta berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi. Para pelajar kursus kokurikulum Pementoran Stream untuk Makmal Sains Sekolah Menengah berjaya mencapai hasil pembelajaran kursus dengan menjayakan aktiviti Service Learning ini yang turut dikenali sebagai SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society).