Nilai: Penularan wabak pandemik COVID-19 yang telah melanda negara sejak tahun 2020 menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) terpaksa dijalankan secara dalam talian di rumah. Hal ini menyebabkan para pelajar tidak dapat menghadiri kelas secara fizikal dan secara tidak langsung, menimbulkan isu pelajar lesu dan learning burnout atau hilang motivasi untuk belajar dalam kalangan pelajar. Masalah ini tentu sekali memberi impak terutamanya kepada para pelajar aliran sains yang hanya berupaya mempelajari teori secara dalam talian kerana tidak dapat melakukan eksperimen secara bersemuka di makmal.

Oleh itu, isu ini membolehkan mahasiswa tahun tiga jurusan program Teknologi Kimia Industri (TKI), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapat idea untuk menghasilkan kit membuat sabun cuci pinggan dengan menggunakan minyak masak terpakai. Menerusi aktiviti Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang diperkenalkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mereka telah berinteraksi dengan komuniti setempat iaitu daripada kebanyakan pelajar sekolah menengah di sekitar Nilai, Negeri Sembilan melalui program yang diberi nama Projek Green Lantern.

Warga sasaran bagi projek ini terdiri daripada pelajar sekolah menengah kerana mereka merupakan antara salah satu mangsa, kesan dari pandemik COVID-19. Pendemik ini telah menjadikan kebanyakan pelajar menjadi tertekan. Justeru, dengan adanya projek ini ia mampu mengurangkan tekanan mereka di samping memberi ilmu pengetahuan, praktikal secara amali dan pengalaman yang bermanfaat untuk mereka.

Project For Happiness yang dianjurkan oleh Khind Starfish Foundation membolehkan peruntukan untuk menghasilkan kit sabun telah berjaya diperoleh. Project For Happiness merupakan satu inisiatif daripada pihak Khind Starfish Foundation untuk menggalakkan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa di mana mereka akan menawarkan geran kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membangunkan projek komuniti. Amaun geran sebanyak RM2,265.00 bagi Projek Green Lantern berjaya diluluskan berkat komitmen yang ditunjukkan oleh mahasiswa untuk menyiapkan kertas kerja dan pembentangan

Projek Green Lantern yang dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi ZOOM ini telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama pelajar jurusan TKI bersama pihak sekolah. Program outreach ini telah berjaya dijalankan dengan penglibatan seramai lebih 500 orang pelajar dari dua buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks KLIA dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok. Pada awalnya, program ini hanya ditujukan untuk dua buah sekolah berkenaan. Namun begitu, Projek Green Lantern berjaya diteruskan ke sekolah yang lain berkat minat dan sambutan menggalakkan daripada para guru sekolah di sekitar Nilai terhadap kit sabun yang dihasilkan.

Pada fasa yang kedua, Projek Green Lantern telah menerima penyertaan seramai 367 orang pelajar dari empat buah sekolah menengah agama iaitu Kolej Genius Insan USIM (KGI), Sekolah Menengah Agama Nilai, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya dari 13 November 2021 hingga 29 Januari 2022. Kerjasama antara Projek Green Lantern dengan Persatuan Pelajar Teknologi Kimia Industri (ICSS) Fakulti Sains dan Teknologi USIM membolehkan peruntukan sebanyak RM 1,500.00 berjaya diperoleh untuk menghasilkan kit sabun yang kemudiannya telah diedarkan kepada para pelajar sekolah.

Projek Green Lantern dibahagikan kepada dua slot utama yang berlangsung selama tiga jam. Slot pertama dimulakan selepas ucapan alu-aluan yang diberikan oleh pensyarah USIM iaitu Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan selaku penasihat bagi Projek Green Lantern. Penerangan berkaitan konsep 3R dan zero waste kemudiannya disampaikan oleh unit kempen yang terdiri daripada pelajar jurusan TKI sendiri. Para pelajar telah didedahkan dengan amalan 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula) yang boleh mereka aplikasikan dalam kehidupan harian. Pendedahan berkaitan sisa sifar (zero waste) pula membolehkan pelajar mengetahui cara untuk mengurangkan sampah atau sisa buangan di rumah mereka. Konsep sisa sifar ini juga dapat mendidik mereka untuk tidak membazir dan menggunakan sumber alam secara berhemat tanpa mencemarkannya seperti mana yang dianjurkan dalam Islam dan juga merupakan salah satu dari lima (5) prinsip Maqasid Syariah iaitu melibatkan nyawa (hifz-an-nafs).

Pada slot kedua program, setiap pelajar telah dibekalkan dengan kit sabun yang dihasilkan oleh mahasiswa. Kit tersebut mengandungi minyak kelapa, garam alkali, acuan sabun dan sarung tangan getah sebagai langkah keselamatan semasa membuat sabun. Apabila program sedang berlangsung, setiap pelajar telah dibimbing oleh para fasilitator untuk menghasilkan sabun menggunakan kit yang diedarkan serta minyak masak terpakai dari rumah. Pelajar bukan sahaja dapat mempelajari ilmu untuk mengitar semula minyak masak, akan tetapi mereka juga dapat mempraktikkan aktiviti membuat sabun secara hands on.

Sebagaimana yang diketahui minyak masak digunakan secara meluas oleh kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya oleh pengusaha restoran, pengeluar makanan dan seluruh isi rumah. Walau bagaimanapun, minyak masak terpakai banyak dibuang ke dalam singki, longkang dan pembentung sehingga menyebabkan pencemaran dan longkang tersumbat. Hal ini kerana, kebanyakan isi rumah tidak mempunyai pengetahuan bahawa minyak masak terpakai boleh dikitar semula. Oleh itu, adalah diharapkan agar program ini dapat memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan mempraktikkan konsep 3R dalam kehidupan seharian.

Projek Green Lantern bukan sahaja berjaya menerima geran daripada Project For Happiness anjuran Khind Starfish Foundation, malah ia juga menduduki tempat ketiga bagi Best Project Awards di bawah projek yang sama. Selain itu, Projek Green Lantern telah bejaya mendapat tempat dalam beberapa penyertaan pertandingan yang dianjurkan di peringkat universiti dan kebangsaan. Antaranya, tempat ketiga dalam Pertandingan Best Green SULAM Project di peringkat USIM dan pingat perak dalam Pertandingan Inovasi STEM Digital Peringkat Kebangsaan PINANG.

Justeru, berlandaskan kepada objektif Projek Green Lantern ini, diharapkan para pelajar dapat mengaplikasi ilmu yang diperoleh di dalam kehidupan seharian. Selain itu, perkongsian berkenaan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti 3R dan zero waste diharapkan dapat melahirkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan komuniti terdekat supaya lebih menghargai alam sekitar. Projek ini kini dalam fasa penyediaan modul berbentuk Micro-Credential di mana pelajar sekolah akan dapat mengikuti sesi pembelajaran kendiri melalui inovasi Projek Green Lantern yang merupakan amalan yang menjadi pilihan bagi pembelajaran secara dalam talian pada masa kini.