NILAI: Seramai 39 orang mahasiswa dan mahasiswi kokurikulum berkredit Kursus Sains Kesukarelawanan kumpulan 1 yang terdiri daripada pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan fakulti yang lain telah berjaya melaksanakan projek akhir yang bertemakan kesihatan dan kesukarelawan. Program yang berlangsung selama 4 jam ini dikenali sebagai Program Al-Jismi Salim Masyarakat Taman Desa Indah yang telah diadakan pada 11 Jun 2022 (Sabtu) bertempat di Surau Al-Mahabbah Taman Desa Indah. Program yang diadakan ini telah dibimbing dan disokong oleh Jurulatih Kursus Sains Kesukarelawanan iaitu Puan Norafida binti Khamis.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat tentang bahaya penyakit 3 serangkai dan cara mencegah penyakit tersebut. Selain itu, program ini juga dapat menyemai sikap tanggungjawab dan keprihatinan masyarakat terhadap tubuh badan mereka terutamanya untuk mengelakkan serangan penyakit 3 serangkai iaitu darah tinggi (hypertension), kencing manis (diabetes) dan penyakit jantung. Tambahan pula, program kemasyarakatan seperti ini dapat merapatkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat serta pelajar yang terlibat.

Sepanjang program ini berlangsung, terdapat pelbagai pengisian menarik telah dijalankan. Antara aktiviti yang diadakan adalah aktiviti team building yang diberi nama Don’t Say the Number. Aktiviti ini merupakan pelan sandaran kepada aktiviti senamrobik kerana aktiviti senamrobik tidak dapat dilaksanakan akibat cuaca yang tidak mengizinkan. Selain itu, Forum Kesedaran Kesan Penyakit 3 Serangkai juga telah dilaksanakan dengan jayanya yang melibatkan dua orang panel jemputan iaitu Dr. Anuar Sani dan Dr. Fathima Begum Syed Mohideen dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM. Forum ini telah mendapat sambutan hangat dan pelbagai soalan diajukan daripada para pelajar khususnya. Pemenang kuiz dan cabutan bertuah telah menerima hadiah yang lumayan yang telah disampaikan oleh pengarah program.

Dalam program ini, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan di sekitar surau dan taman permainan yang berdekatan juga diadakan. Pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk membersihkan beberapa tempat berbeza di sekitar taman tersebut. Selain itu, beberapa kumpulan pelajar juga telah membuat edaran brochure kesihatan dari rumah ke rumah di sekitar taman tersebut.

Pelajar kursus ini berharap agar program kesedaran penjagaan kesihatan dan kemasyarakatan seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Melalui program ini juga, pelajar dapat membina keyakinan diri, membentuk sahsiah peribadi unggul dan bekerja dalam pasukan. Pelajar juga dapat menimba ilmu dan kemahiran dalam merancang aktiviti bersama komuniti setempat. Di akhir program, Puan Norafida binti Khamis telah melahirkan rasa syukur kerana program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif. Adalah diharapkan program seperti ini mampu dilaksanakan lagi pada masa akan datang dengan lebih kreatif dan membina.