Pada 14 Januari 2023, kumpulan 1 dari Kursus Memanah (CSD1032) telah menganjurkan program yang berbentuk ‘Explorace’, bertempat di Padang Sasar Memanah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) bersebelahan pintu pagar ke-2 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Penyertaan dibuka kepada komuniti di sekitar USIM, dan telah disertai seramai 33 orang peserta dikalangan mahasiswa USIM, Kolej Genius Insan (KGI) dan penduduk sekitar. Seramai 30 pelajar pra-siswazah melalui beberapa jawatankuasa yang dilantik, telah mengelolakan program ini. Tujuan utama program adalah untuk memberi peluang dan pendedahan awal kepada para peserta tentang teknik dan kaedah memanah yang betul. Tambahan lagi, mahasiswa dapat mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajari di dalam kursus melalui program memanah yang melibatkan komuniti.

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta diiringi bacaan doa oleh saudara Saiful yang juga merupakan pengarah program. Sebelum memulakan aktiviti ‘Explorace’, peserta melakukan senaman pemanas badan bagi mengelakkan kecederaan. Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan menjalani aktiviti mengikut checkpoint yang telah ditentukan oleh jawatankuasa pengisian dan aktiviti.

Para peserta turut diberikan peluang memanah untuk mempraktikkan teknik yang dipelajari dari setiap checkpoint. Bagi memastikan setiap peserta melakukan teknik memanah yang betul, jawatankuasa teknikal telah memantau peserta secara dekat untuk menegur dan membaiki teknik panahan setiap peserta. Pada majlis penutup, sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah turut dijalankan. Program ini berakhir pada jam 1:00 tengahari dengan sesi bergambar bersama peserta, ajk dan penasihat progam Ts. Dr. M Norazizi Sham Mohd Sayuti. Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat maklumbalas yang positif daripada para peserta.