5 Jun 2021, Sabtu – Penganjuran Program Komuniti Sejahtera Aspirasi Negara yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dilihat mampu mengeratkan hubungan antara sesama mahasiswa. Pada masa yang sama, program ini mampu memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiwa cara untuk bergiat aktif dan berkecimpung dalam bidang integrasi komuniti ini. Sungguhpun negara sedang bertungkus lumus membanteras wabak Covid-19 ini, namun itu tidak menjadi penghalang kepada mahasiwa untuk mengadakan apa-apa program sekalipun.
Bual bicara perlu dijadikan sebagai salah satu platform dan wadah kepada para pelajar universiti awam bagi menggalakkan percambahan pemikiran rakyat pada masa akan datang berkaitan integrasi komuniti. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, integrasi bermaksud pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan atau penyatuan. Komuniti pula bermaksud masyarakat atau kumpulan orang yang tinggal dalam sesebuah daerah atau negara.
Program bual bicara ini telah menghadirkan berbagai manfaat, baik daripada isi penting mahupun huraiannya. Topik yang dibahas juga sangat menarik dan mampu memberi impak yang besar buat para pelajar. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi tuntutan khusus, malah ia dapat membantu para pelajar untuk lebih bergiat aktif dalam integrasi komuniti. Program-program sebegini secara tidak langsung dapat membantu para pelajar membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat selain membuka mata masyarakat agar tidak memandang serong kepada para pelajar universiti, seolah-olah mereka tidak pernah memberi apa jua manfaat kepada komuniti.
Mutakhir ini, banyak universiti telah mengadakan program-program bual bicara secara maya. Hal ini disebabkan oleh penularan virus yang kian merebak di negara kita. Baru-baru ini, Integrasi Komuniti 2 telah menganjurkan satu program iaitu “Program Komuniti Sejahtera Aspirasi Negara” pada 5 Jun 2021 dengan menggunakan platform Zoom. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelajar USIM yang telah menyertai program ini. Program ini berlangsung selama 1 jam bermula pada pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam. Program ini disampaikan oleh Encik Abdul Muiez bin Muhammad Ruslee iaitu Guru Bimbingan dan Kaunseling dan moderator program, Nurul Asyikin binti Raf’an.
Program ini merupakan cetusan idea daripada semua ahli Integrasi Komuniti 2 yang berhasrat untuk menyedarkan mahasiswa betapa pentingnya nilai komuniti dalam kehidupan. Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah dikongsikan oleh penceramah. Beliau menekankan elemen Pendidikan, Kesihatan, Keperluan dan Keagamaan dalam melahirkan masyarakat yang berintegrasi. Dari sudut pandang beliau, empat elemen ini mampu mengubah kehidupan sesebuah komuniti untuk menjadi insan yang lebih baik. Jadi, ini merupakan satu panduan kepada mahasiwa-mahasiswa dalam mencari idea bagaimana untuk memenuhi keempat-empat elemen ini. Di sini kita dapat lihat bahawa objektif program telah berjaya dipenuhi iaitu dengan dapat memupuk bersatu hati dalam satu komuniti dan dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk berkecimpung dalam bidang integrasi komuniti.
Berdasarkan pengalaman tersebut, beliau menggunakan platform Youtube untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau telah berjaya menubuhkan satu saluran Youtube iaitu “MGKK Sabak Bernam” yang memperkenalkan motto utama saluran tersebut iaitu “Maanfaat Guru, Murid dan Masyarakat”. Saluran ini menjadi teras kepada murid untuk menuntut ilmu disamping dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau juga sempat berpesan agar semua mahasiswa sepatutnya mempraktikkan dan menyebarkan segala ilmu yang dipelajari untuk mengelakkan kerugian di kemudian hari.
Program ini sememangnya memberi input yang berguna kepada para peserta. Beliau seringkali mengingatkan para pelajar supaya sentiasa berusaha dan belajar untuk memperbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik. Beliau telah memperkenalkan prinsip 5M untuk melakukan sesuatu perkara. M yang pertama ialah mulakan dengan apa yang kita ada. Seterusnya, mulakan dengan apa yang kita mampu. Kemudian, mulakan dengan sekecil-kecil perkara. Selain itu, kita perlu mulakan dengan diri sendiri dan yang terakhirnya ialah mulakan sesuatu perkara dari sekarang. Prinsip 5M ini bertujuan untuk melatih para mahasiswa untuk memulakan sesuatu perkara. Hal ini demikian kerana penguasaan mendalam terhadap kemahiran insaniah ini dalam kalangan mahasiswa mampu memacu diri disamping menerapkan kemahiran memimpin setiap arahan dan tugasan yang akan diberikan dalam mengatur setiap gerak geri kerja.
Kemuncak program ini berakhir dengan pelaksanaan kuiz melalui platform Kahoot. Soalan-soalan tersebut adalah berkaitan dengan integrasi komuniti. Peserta diminta untuk menjawab soalan-soalan kuiz yang telah disediakan. Sebanyak 16 soalan yang perlu dijawab oleh para peserta. Pemenang akan dipilih berdasarkan tahap dan markah tertinggi. Justeru, diharapkan melalui program ini para mahasiswa USIM dapat memperoleh manfaat dan nilai tambah diri dalam melahirkan mahasiswa yang berintelektual dan berminda kelas pertama. Jadilah masyarakat yang apabila dicubit paha kiri, paha kanan juga turut terasa. Sikap kerjasama dan tolong menolong perlu dipupuk agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai.