NILAI, 30 NOVEMBER 2019 – Seramai 30 orang pelajar dan seorang fasilitator dari Kursus Pengurusan Masjid Kumpulan 1 (CTB1012) telah menyertai Program Street Dakwah bersama Golongan Gelandangan yang bertempat di Surau Al-Hijrah, Chow Kit, Kuala Lumpur. Program Street Dakwah bersama Golongan Gelandangan ini merupakan program dan penilaian akhir bagi Kursus Pengurusan Masjid Kumpulan 1 (CTB 1012) dibawah teras kebudayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ini dijayakan dengan kerjasama NGO Yayasan Amal Malaysia dan pihak pengurusan Surau Al-Hijrah, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa melihat secara realiti kehidupan golongan gelandangan, memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi dan kemahiran kerja berpasukan yang dipelajari sepanjang kelas dan melatih mahasiswa supaya cekap berkhidmat kepada masyarakat terutama kepada golongan gelandangan.

Program ini dijalankan secara berpusat pada waktu petang di Surau Al-Hijrah yang mana komuniti gelandangan dikumpulkan dengan bantuan Yayasan Amal Malaysia. Antara aktiviti yang dijalankan ialah tazkirah ringkas, pengagihan barangan asasi, pengagihan makanan dan pengagihan pakaian kepada komuniti gelandangan. Seterusnya pada waktu malam pula, mahasiswa dan NGO bersama-sama bergerak ke lorong-lorong di kawasan Chow Kit tersebut dengan bantuan Nur Qamariah atau dikenal sebagai Mak Wan. Hal ini kerana beliau merupakan penduduk yang paling lama tinggal di kawasan Chow Kit dan arif berkaitan selok-belok kawasan tersebut. Aktiviti yang dijalankan adalah mengagihkan makanan dan kit kebersihan kepada golongan gelandangan.

Sesungguhnya program ini memberikan seribu satu pengalaman yang bermakna kepada mahasiswa dan sememangnya memberikan impak kepada golongan gelandangan, mahasiswa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan seterusnya kepada negara. Antara impak program ini ialah golongan gelandangan tidak lagi rasa tersisih dalam kalangan masyarakat kerana mereka sedar bahawa masih ada lagi masyarakat yang prihatin terhadap nasib mereka terutamanya mahasiswa dan mahasiswi universiti. Seterusnya, nama USIM juga tercatat sebagai sebuah universiti yang prihatin terhadap masyarakat terutamanya kepada golongan gelandangan seterusnya mengharumkan nama USIM dalam aktiviti kesukarelawanan. Tambahan pula, melalui program ini juga dapat mendidik mahasiswa untuk rasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah. Akhir sekali, impak program ini kepada negara ialah dapat melatih generasi muda untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan menimbulkan rasa keprihatinan dikalangan peserta yang bakal memimpin negara kelak.