SEREMBAN, 23 November 2019 – Menjaga hubungan baik dalam masyarakat adalah perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Berbuat baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh masyarakat biarpun berlainan agama dan kepercayaan. Berbuat baik sesama insan akan mencerminkan diri dan akhlak sebagai seorang Mukmin sejati, sekali gus boleh menjadi qudwah (contoh) kepada penganut agama lain.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah: ayat 83,: “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji daripada bani Israel, janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin. Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, laksanakan solat dan tunaikanlah zakat. Tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari), kecuali sebahagian kecil dari kamu, dan kamu (masih menjadi) pembangkang”.

 

Atas dasar tersebut, sekumpulan siswa Kursus Debat Bahasa Melayu (CPA1012), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan menyantuni warga emas di Rumah Orang Tua Red Spot Home Care Center di Bukit Rasah, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

Tujuan kunjungan itu adalah bagi memupuk kasih sayang dan sifat hormat-menghormati dalam kalangan mahasiswa terhadap golongan yang jauh lebih berusia dan memerlukan belaian kasih sayang. Bukan sahaja berupaya membentuk nilai murni dalam kalangan mahasiswa, amalan itu diharap boleh membentuk kesedaran tinggi terhadap kepentingan menjaga orang tua terutama ibu bapa.

 

Kumpulan pelajar yang terdiri daripada 29 orang itu juga berkesempatan mendekati dan menyelami kisah warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan orang tua tersebut. Program “We Care We Share” anjuran pelajar ini merupakan tugasan projek akhir bagi kursus yang diambil mereka di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah USIM. Melalui program ini, siswa USIM mendekati dan menyantuni secara dekat 14 orang warga emas yang ditempatkan secara separuh masa dan sepenuh masa di pusat jagaan tersebut.

 

Pengarah program itu, Ahmad Suhail Abd Rahman berkata, mereka memilih untuk mengunjungi rumah orang tua tersebut kerana ingin mendedahkan golongan mahasiswa universiti agar sentiasa prihatin, peka dan cakna terhadap nasib golongan yang tidak bernasib baik. Mahasiswa Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian USIM berusia 20 tahun itu berkata, mereka juga mampu mempelajari sesuatu bahkan banyak perkara yang baharu bagi dijadikan sebagai panduan hidup pada masa hadapan.

Menurutnya, biarpun pertama kali bersua dengan penghuni di pusat jagaan tersebut, namun kemesraan dan perasaan kasih sayang itu begitu cepat mengalir antara mahasiswa dengan kumpulan warga emas di situ.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengurusan Red Spot Home Centre kerana memberi peluang untuk saya dan rakan-rakan mempelajari banyak hal yang baharu. Sepanjang program ini, kami mengambil kesempatan membantu kakitangan pusat jagaan menjalankan aktiviti rutin bersama penghuni di pusat penjagaan itu seperti menjaga kebersihan dan perapian diri, bergotong-royong dan kami juga berpeluang memasak dan menyediakan sendiri makan tengah hari dan minum petang buat penghuni pusat jagaan tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, satu slot yang dinamakan ‘Sesi Menyatuni Jiwa’ telah memberi impak mendalam buat dirinya dan sahabat yang lain apabila berpeluang mendengar sendiri kisah penghuni di pusat penjagaan tersebut, sekali gus menjadikan ibrah (pengajaran) berguna untuk menjadi Muslim terbaik.

Bagi tenaga pengajar Kursus Debat Bahasa Melayu, Mohd Zaini Othman, beliau melihat pelaksanaan program seumpama ini memberi kesan para pelajarnya khususnya kepada pendedahan tentang elemen kepedulian mengenai masyarakat sekeliling dan mendidik nurani mereka akan kepentingan berkasih-sayang dan saling menghormati sesama insan.

“Islam sendiri mengajar umatnya untuk sentiasa menjaga ukhwah dan menyantuni mereka yang kurang bernasib baik. Pelajar ditekankan untuk tidak melihat program ini sebagai satu tugasan projek akhir semata-mata tetapi melihat ia sebagai satu tanggunggawab yang perlu mereka jalankan apabila keluar kepada masyarakat kelak” ujar Zaini. TAMAT

 

Nota kaki :

  1. Mahasiswa usim mengabdikan kenangan indah bersama sebahagian penghuni rumah orang tua red spot home care center.
  2. Tanpa mengiri perbezaan agama, seorang peserta menyuan makanan kepada penghuni warga emas.