SUBANG, 18 Januari 2023 – Seramai 35 orang pelajar Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (KIAR) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Projek Akhir Pembudayaan Nilai Integriti kepada Remaja Sekolah bagi memenuhi keperluan program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM). Program ini telah diadakan pada 18 Januari 2023 pada pukul 3.00 petang bertempat di Surau Asy Syatibi, Sekolah Agama Menengah Subang, Subang Jaya (SAMBEST), Selangor. Objektif pelaksanaan program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar dan merapatkan jurang antara mahasiswa USIM dengan masyarakat. Selain itu, program ini dapat membudayakan nilai integriti dan anti-rasuah kepada komuniti khususnya pelajar sekolah menengah serta meningkatkan tahap kepimpinan pelajar menerusi kaedah mengorganisasikan program khidmat masyarakat.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Husnun Alsha’ri bin Mohamad Rasidi, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (SAMBEST) yang sempat turun padang bersama-sama dengan program ini serta memberi penghargaan kepada pihak USIM di atas inisiatif membendung gejala rasuah seawal usia remaja pelajar sekolah. Seterusnya, program ini diisi dengan slot ceramah bertajuk Kenali Rasuah yang disampaikan oleh Encik Effezul Azran Abd. Maulup iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa (KPKPs), Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menerusi sesi ini pelajar sekolah dapat mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan jenis-jenis kesalahan rasuah di bawah akta SPRM disamping dengan kuiz interaktif silang kata yang dibuat oleh SPRM. Rata-rata pelajar terhibur dengan sesi ini yang dibuat secara oleh penceramah dengan pengisian yang penuh serta dengan nilai pengajaran berkaitan integriti dan anti-rasuah.

Acara kemuncak bagi program ini adalah aktiviti dalam kumpulan yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan iaitu Teka Susun Suai Gambar (Jigsaw Puzzle), Teka Silang Kata (Crossword Puzzle), Kerusi Berirama (Music Chair), Baling Bola ,Sudut Poster Integriti Suai dan Padan (Mix and Match) dan Belon Beracun.

Kesemua aktiviti dalam kumpulan ini dikendalikan oleh pelajar USIM selaku fasilitator program dan disertai seramai 118 pelajar Tingkatan 1 SAMBEST secara bergilir-gilir bagi setiap kumpulan. Salah seorang pelajar yang telah bermain aktiviti silang kata telah mengatakan bahawa program ini sangat seronok, kerana dijalankan secara santai dan dengan adanya program tersebut, pelajar dapat meningkatkan pengetahuan serta menyedarkan pelajar akan keburukan dan bahayanya rasuah. Manakala, sekumpulan pelajar yang telah bermain aktiviti kerusi berirama telah menyatakan mereka begitu teruja dengan adanya aktiviti sebegini sehingga mengatakan ingin masuk ke USIM. Pelajar juga melaungkan trademark ‘Perangi Rasuah, Sayangi USIM, Awak Memang Terbaik’, dengan penuh semangat di akhir aktiviti ini.

Secara kesimpulannya, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya mengikut perancangan yang telah ditetapkan dengan kerjasama ahli jawatankuasa, pihak SPRM dan pihak sekolah. Menerusi program ini pelajar Kursus Integriti dan Anti-rasuah dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan juga kerjasama berpasukan. Selain itu, pelajar sekolah memperolehi manfaat dan juga pengajaran berkaitan dengan kesedaran rasuah dan juga nilai integriti.

Disediakan oleh,

Syahmina Hannan binti Saharuddin

Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana

Projek Akhir Kursus Integriti dan Anti Rasuah

Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah