NILAI, 11 Januari 2025 – Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berjaya menganjurkan Festival Ko-Kurikulum FESKOM@USIM 2.0 yang berlangsung meriah di Kafeteria Kolej Kediaman 1, USIM.

Festival ini menghimpunkan pelbagai kursus ko-kurikulum berkredit untuk melaksanakan aktiviti secara berpusat dan serentak, sekaligus mempamerkan pencapaian dan kemahiran insaniah para pelajar sepanjang penglibatan mereka dalam kursus masing-masing. Objektif utama FESKOM@USIM 2.0 adalah untuk meningkatkan keterlihatan program ko-kurikulum dalam kalangan warga kampus dan memperkukuh semangat integrasi serta kolaborasi antara pelajar.

Penganjuran festival telah diketuai oleh pelajar daripada kursus CLJ1012 Integrasi Komuniti yang bertindak sebagai penyelaras utama program. Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah persembahan oleh kumpulan teater, nasyid dan kompang. Kumpulan teras sukan dan kepimpinan turut menjalankan aktiviti komuniti di Pusat Sukan USIM dan Kompleks Islam Tuanku Mukhriz.

Acara turut menampilkan tayangan montaj kompilasi projek akhir kursus ko-kurikulum sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan dedikasi para pelajar.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang turut menyampaikan Sijil Watikah Pelantikan Urusetia Ko-Kurikulum Pelajar PPKI. Dalam ucapannya, beliau merakamkan tahniah kepada PPKI atas kejayaan penganjuran festival dan mengharapkan agar FESKOM@USIM dijadikan sebagai program tahunan berskala besar pada setiap semester.

Secara keseluruhan, FESKOM@USIM 2.0 berjaya mencapai objektif penganjurannya dan membuka ruang kepada penambahbaikan yang lebih berimpak pada masa akan datang.