SEREMBAN, 11 Januari 2025 – Kelas Kokurikulum Bola Tampar Kumpulan 2 Semester 1 Sesi Akademik 2024/2025, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menganjurkan Klinik Bola Tampar dan Mini Tournament Volleyball yang berlangsung dengan jayanya di Gelanggang Bola Tampar, Kompleks Sukan Tuanku Najihah (KSTN).
Program ini menghimpunkan 62 peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi dan pelajar-pelajar USIM, serta melibatkan 30 pelajar USIM sebagai fasilitator. Penganjuran ini merupakan usaha menggabungkan dua elemen penting dalam pembangunan pelajar — jasmani dan rohani, sejajar dengan visi USIM iaitu “Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli”.
Pendedahan Teknikal dan Pengalaman Pengurusan
Objektif utama program ini adalah memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik permainan bola tampar yang betul, serta melatih pelajar USIM dalam menguruskan dan melaksanakan program bersama komuniti luar. Program ini juga merupakan tugasan akhir bagi pelajar Kelas Kokurikulum Bola Tampar Kumpulan 2.
Program dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan atur cara dan aktiviti yang bakal dijalankan, termasuk klinik bola tampar serta pertandingan. Sesi klinik dijalankan secara interaktif oleh fasilitator, diikuti dengan perlawanan mini yang menyaksikan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan peserta.
Majlis penutup diadakan selepas tamat pertandingan, dimulakan dengan ucapan oleh En. Mohd Faiz bin Hamzah, jurulatih Kokurikulum Bola Tampar Kumpulan 2. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan menyatakan harapan agar program ini menjadi landasan melahirkan pelajar yang reflektif dari segi fizikal dan spiritual.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi bergambar kenangan sebagai simbolik kejayaan penganjuran program tersebut.
Program ini bukan sahaja berjaya mengasah bakat dan meningkatkan minat peserta dalam sukan bola tampar, malah memperkukuh nilai kerjasama, komunikasi dan disiplin dalam kalangan pelajar. Peserta juga mendapat pengalaman baharu yang menyeronokkan dan bermanfaat, manakala fasilitator memperoleh kemahiran praktikal dalam mendidik serta mengendalikan aktiviti luar bilik kuliah.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antara USIM dan komuniti setempat dalam memartabatkan pembangunan sukan dan sahsiah pelajar.