NILAI, 3 Mei 2025 (Sabtu) – Majlis Makan Malam Tahunan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) dengan kerjasama Kor SISPA USIM ini bertujuan untuk meraikan penglibatan dan pengorbanan anggota SISPA sepanjang tahun akademik, selain mengukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan ahli, pegawai, dan jurulatih.
Bertemakan “Garden Party”, majlis ini menghimpunkan lebih 155 orang mahasiswa dari Kompeni Alpha dan Charlie, dua orang jurulatih, serta sepuluh alumni. Suasana majlis diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan kebudayaan, tayangan montaj aktiviti tahunan, dan penyampaian anugerah khas kepada anggota yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek kepimpinan, disiplin, dan keaktifan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Komander Kor SISPA USIM, diikuti ucapan perasmian oleh wakil tertinggi universiti. Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan penting SISPA sebagai platform dalam membentuk mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan dalam komuniti.
Majlis turut menjadi wadah penghargaan kepada jurulatih SISPA yang telah menyumbangkan kepakaran dan komitmen dalam latihan serta pengurusan kor sepanjang tahun. “Program seperti ini bukan sahaja mencerminkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli Kor SISPA, malah ia turut memperkukuh nilai kepimpinan dan kerjasama yang menjadi asas dalam pertahanan awam,” ujar pengacara majlis, Siti Adibah binti Suhelmi.
Secara keseluruhannya, Majlis Makan Malam Tahunan Kor SISPA USIM 2025 berjaya mencapai objektif penganjurannya. Diharapkan majlis seumpama ini dapat diteruskan sebagai simbol penghargaan dan motivasi kepada seluruh warga Kor SISPA pada masa akan datang.
Disediakan oleh : Nur Alia Sofea Binti Mohd Izham (Tim. Setiausaha Kompeni Charlie 15)