NILAI, 19 Oktober 2024 – Seramai 31 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program ‘Pemimpin Cilik Hatimurni: Lead with Purpose, Speak with Courage’ bersama 119 pelajar Sekolah Islam Swasta KAFA Hati Murni. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dewan Kuliah Fakulti 1.1, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM.
Program yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada kursus Public Speaking (CPB 1022) itu bertujuan melahirkan pemimpin muda yang berani dan berkemahiran dalam pengucapan awam, sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang menekankan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Tiga objektif utama digariskan bagi program ini:
-
Memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep kepimpinan Islam serta teknik dan kaedah pengucapan awam yang berkesan.
-
Meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk berucap di hadapan khalayak sebagai seorang pemimpin.
-
Memberi peluang kepada mahasiswa memperkasa bakat dan pengalaman mereka melalui aktiviti berkaitan kepimpinan dan pengucapan awam.
Para mahasiswa yang terlibat memainkan peranan masing-masing mengikut jawatankuasa seperti AJK Aktiviti, AJK Keselamatan, AJK Makanan, AJK Tugas-tugas Khas, AJK Multimedia, AJK Logistik dan AJK Protokol. Program dimulakan seawal jam 9 pagi dengan taklimat oleh Pensyarah Penyelaras, Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor, diikuti ceramah pertama bertajuk ‘Asas dan Teori Kepimpinan Pelajar Islam’ oleh Dr. Roslizawati Mohd Ramli.
Ceramah kedua bertajuk ‘Ciri-ciri dan Pembentukan Kerja Berpasukan Pemimpin Pelajar’ disampaikan oleh Dr. Suhailiza Md Hamdani. Usai solat, pelajar dibahagikan kepada 20 kumpulan untuk menjalani aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama fasilitator. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembuatan kapal terbang kertas dan misi penyelamat telur terjun yang bertujuan membina kerjasama dan kepimpinan berkesan.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar, Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam, FKP, yang turut menyampaikan hadiah kepada wakil Sekolah Hati Murni. Program diakhiri dengan sesi fotografi bersama peserta dan fasilitator.
Menurut pemerhatian, para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta keberanian untuk tampil membuat pengucapan awam. Ini membuktikan bahawa objektif program telah berjaya dicapai, selain memberi impak positif kepada pelajar sekolah dan mahasiswa.
Secara keseluruhan, program ini dilihat mampu memupuk semangat kerjasama, memartabatkan ilmu kepimpinan berteraskan nilai-nilai Islam, dan selari dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperluas manfaatnya kepada masyarakat pada masa akan datang.