Nilai – Selari dengan objektif penganjuran projek akhir dengan mendekatkan diri mahasiswa kepada masyarakat dengan melaksanakan aktiviti kesukarelawanan dan pertukaran ilmu, Kursus Kompang CCC1012 dengan Kerjasama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah telah menganjurkan sebuah program Bengkel Asas Permainan Kompang yang telah berlangsung dengan jayanya pada 14 Januari 2023 bertempat di Kolej Genius Insan.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan dan mengembangkan lagi kemahiran mahasiswa dalam asas permainan kompang sekaligus dapat menyebarkan ilmu dan kemahiran asas permainan kompang yang dipelajari kepada masyarakat sejajar dengan hasrat kursus tersebut untuk melahirkan lebih ramai generasi ilmu yang mahir dan berpengetahuan tentang asas permainan kompang.

Bengkel telah dilaksanakan oleh 35 orang mahasiswa yang terlibat dengan kursus Kompang CCC1012 bagi memenuhi keperluan subjek kokurikulum yang telah ditetapkan oleh USIM. Setiap mahasiswa diberi tugasan untuk berkongsi cara dan teknik pukulan asas permainan kompang yang betul  setelah dipelajari di dalam kursus sepanjang semester.

Peserta Kolej Genius Insan, saudara Muhammad Azhar, wujudnya program Bengkel Asas Permainan Kompang ini dapat menarik minat generasi muda untuk menghayati seni warisan bangsa dengan mempelajari asas dan teknik permainan kompang yang betul seterusnya dapat dipraktikkan ilmu yang dipelajari di masa akan datang.

Seramai 30 orang pelajari dari Kolej Genius Insan yang terdiri dari kalangan pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 telah menyertai Bengkel Asas Permainan Kompang. Bengkel diakhiri dengan persembahan permainan kompang hasil tunjuk ajar dari mahasiswa USIM dan penyampaian cenderahati kepada peserta yang terlibat.