JELEBU, 26 OKTOBER 2019 – Seramai 45 mahasiswa Tahun 1 Fakulti Pembedahan dan Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai program Dentradroit Outreach bersama penduduk Kampung Ulu Kelaka, Jelebu , Negeri Sembilan yang diadakan pada 26 Oktober 2019 bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang.

Menurut Pengarah Program Muhammad Solihin B. Azman, program yang menggambarkan kebersamaan warga USIM ini merupakan penganjuran bersama dengan entiti kerajaan dan NGO seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) USIM serta turut dibantu oleh Kelab Memanah USIM secara komited merancang kelancaran perjalanan program agar berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

”Objektif program antaranya adalah untuk menanam rasa tanggungjawab dan sifat kesukarelawan untuk memberikan khidmat sosial, motivasi dan juga kesedaran kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan sosial sebagai satu langkah ke arah mendepani realiti kehidupan dalam bidang pergigian”.

”Selain itu program ini juga dapat menjalinkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat dan mengaplikasikan kemahiran berkomuniti dalam komuniti yang sebenar di samping dapat membina profil penduduk dengan mendedahkan komuniti orang asli tentang kepentingan menjaga kesihatan gigi agar mereka terhindar daripada sebarang penyakit”.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan di sana antaranya senamrobik yang diketuai oleh pasukan lelaki, sukaneka yang melibatkan semua mahasiswa serta anak- anak orang asli Kampung Ulu Kelaka secara berkumpulan, “Health Talk” di mana orang-orang asli daripada pelbagai lapisan umur diajar untuk menggosok gigi dengan cara yang betul serta memberi info tentang penjagaan gigi, mengadakan soal jawab berkaitan penjagaan gigi bersama anak-anak orang asli dan memberi sample ubat gigi kepada mereka serta sesi bergambar bersama ketua kampung dan ketua JAKOA di penghujung program.

Impaknya, program ini cukup berpotensi untuk menjayakan hasrat universiti ke arah melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bersaing memburu kecemerlangan akademik, bahkan mampu untuk melahirkan graduan yang berdisiplin dan berkepimpinan.

Program perasmian penutup disempurnakan oleh En.Maslizam Bin Mat Ali, ketua JAKOA dan En.Faizal Bin Kutang, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), serta turut hadir sama Puan Norfarrahliza Soon Mustafa, tenaga pengajar kursus.