NILAI, 24 APRIL 2019 – Telah berlangsung Explorace Permata Insan yang dianjurkan oleh mahasiswi Kursus Kokurikulum Badminton (2P) 2019 yang bertempat di Kampung Jimah Lama, Seremban, Negeri Sembilan. Program yang telah dianjurkan ini adalah hasil kerjasama bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI). Penyelaras bagi program ini ialah Encik Nor Kamal bin Ahmad selaku jurulatih kursus. Program ini berlangsung dari jam 2 petang hingga 8 malam. Program yang dianjurkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang terdiri daripada kanak- kanak Kampung Jimah Lama. Pada masa yang sama, mahasiswi USIM juga turut melibatkan diri bagi memeriahkan suasana pada hari tersebut.
Tujuan utama bagi program ini diadakan adalah untuk merancang, melaksana, memimpin program, bekerjasama dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan. Selain itu, dengan adanya program ini dapat memupuk rasa keperihatinan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk Kampung Jimah Lama dengan mahasiswi kursus kokurikulum badminton (2P). Seterusnya, program ini dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk Kampung Jimah Lama tentang tanggungjawab sosial terhadap ahli kumpulan masing- masing. Akhir sekali, adanya program ini sekaligus untuk menanam perasaan cinta akan alam sekitar.
Program ini dimulakan dengan mahasiswi kursus bertolak ke Kampung Jimah pada jam 2 petang. Seramai 25 orang mahasiswi kursus badminton (2P) yang mengikuti program ini serta diiringi oleh seorang jurulatih kursus. Pada jam 2.30 petang majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada ketua kampung dan jurulatih kursus. Seterusnya, bermula aktiviti gotong- royong membersihkan masjid. Kemudian para peserta serta fasilitator berehat, minum petang dan solat asar berjemaah. Explorace bermula pada jam 5.30 petang dimulai dengan taklimat ringkas mengenai explorace. Seramai 17 orang peserta yang terlibat dan dibahagikan dalam beberapa kumpulan. Sebanyak 6 check point yang ditubuhkan oleh para fasilitator dalam explorace ini. Para peserta dapat menjalani explorace ini dengan baik. Seterusnya, program dilanjutkan dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta penyampaian sijil penyertaan dan sijil penghargaan kepada ketua Kampung Jimah Lama. Program ini tamat dengan meriahnya pada jam 7.30 petang dilanjutkan dengan sesi bergambar.
Program Explorace Permata Insan ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan antara para mahasiswi kursus kokurikulum badminton (2P) serta mengenali dan merapatkan hubungan dengan penduduk Kampung Jimah Lama. Pihak penganjur juga berharap dan akan melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program Explorace Permata Insan ini.