NILAI, 25 JUN – Program Forum Integrasi Komuniti Mampan Sebagai Pengguna Komunikasi dan Multimedia telah diadakan pada 25 Jun 2022. Program ini merupakan anjuran Kumpulan 1 Kursus CLJ1012 Integrasi Komuniti bagi menyempurnakan projek akhir mereka. Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar USIM dan orang awam telah menyertai forum ini dan program ini diadakan melalui platform Zoom.

Sebanyak dua panel jemputan yang telah menyempurnakan program kami. Panel jemputan yang pertama di dalam program kami ialah TS. Dr. Syed Agil Sheikh Alsagoff. Beliau merupakan Ahli Biro Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam dan Ahli Bersekutu Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM). Beliau juga merupakan seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Panel jemputan yang kedua ialah Puan Mediha Mahmood. Puan Mediha telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari 2021. Beliau telah diberi mandat untuk mengurus hala tuju strategik organisasi dan menyelia semua operasi, fungsi dan aktiviti yang bertujuan untuk mempromosikan misi dan ‘suara’nya.

Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dalam menjadi pengguna komunikasi dan multimedia yang bijak seperti cara memilih dan mengguna data yang bijak & saluran aduan yang betul. Menanam sikap tanggungjawab apabila menggunakan media sosial dan menjadi pengguna yang bijak dan beretika membantu orang lain untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Program berlangsung selama hampir 2 jam. Program dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada pengacara majlis iaitu saudari Eizzaty. Seterusnya, bacaan doa telah dipimpin oleh saudara Luqman Hakim. Majlis diteruskan oleh moderator forum, saudari Fatin Nabilah untuk mengajukan soalan-soalan berkaitan latar belakang tentang CFM dan CMCF, masalah yang kerap kali berlaku di media sosial dan banyak lagi soalan kepada Dr. Syed Agil dan Puan Mediha Mahmood. Kemudian, majlis memberi ruang kepada sesi soal jawab atau Q&A antara para peserta dan panel jemputan. Akhirnya, majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan majlis bersurai.

Terdapat banyak pengetahuan yang dapat diambil dan diamalkan oleh para peserta daripada pengisian yang dikongsi oleh Dr. Syed Agil dan Puan Mediha Mahmood. Kami juga berterima kasih kepada pihak CFM dan CMCF kerana telah sudi menghantar wakil dan menjadi panel jemputan untuk majlis kami ini. Oleh itu, kami berharap agar semua individu boleh mengambil cakna serta menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berfikir dahulu sebelum mengambil tindakan.

Sekian, terima kasih.