Travelog Ninja Dekati Syurga

//Travelog Ninja Dekati Syurga

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM), 25 APRIL- Pihak Kursus Penulisan Kreatif kumpulan 1, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan program Travelog Ninja Dekati Syurga iaitu sebuah perkongsian di antara sepasang suami isteri iaitu Puan Sabatini dan suaminya, Encik Azlan Andi tentang penulisan buku-buku yang telah mereka terbitkan serta sedikit kupasan buku mereka. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan sedikit ilmu berkaitan dengan penulisan serta mengetahui teknik-teknik dalam menghasilkan sebuah karya di kalangan mahasiswa dan mahasisiwi USIM serta masyarakat luar. Selain itu juga, program ini memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk mengetahui dan mendalami ilmu dunia dan akhirat berdasarkan aqli dan naqli. Ternyata objektif program ini tercapai dengan kehadiran pelajar USIM dan beberapa orang dari universiti luar. Pendaftaran untuk peserta telah dibuka pada hari tersebut seawal jam 7.45 malam di dewan kuliah pusat 4. Seterusnya ketibaan tetamu jemputan mulai hadir ke dewan tersebut. Program dimulai dengan alunan Asma ul-Husna dan lagu Usim Terus Maju.

Program diteruskan lagi dengan slot yang ditunggu-tunggu oleh peserta-peserta iaitu slot ceramah oleh kedua-dua tetamu jemputan. Puan Sabatini dan Encik Azlan menceritakan pengalaman mereka dalam menyiapkan sebuah karya dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka berdua. Idea karya mereka diinspirasikan berdasarkan kisah Encik Azlan dan Puan Sabatini sendiri. Mereka berdua juga menceritakan pengalaman mereka semasa belajar di luar negara dan memberi sedikit tip untuk belajar di luar negara. Ceramah tersebut juga diselitkan dengan perkongsian agama yang dikaitkan dengan kisah hidup mereka. Pada pukul 9.50 malam sesi soal jawab dimulakan. Pelajar yang ingin bertanya boleh bertanya melalui medium Whatsapps dan bertanya secara berhadapan. Selepas itu, sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan, pihak program memberi sedikit cenderahati yang disampaikan oleh Puan Nisa Haron, penasihat Kursus Penulisan Kreatif. Program berakhir dengan sesi bergambar dengan tetamu jemputan. Selepas sesi bergambar, jualan buku berlangsung di luar dewan dan Puan Sabatini dan Encik Azlan membuka sesi autograf kepada peserta.

2018-11-02T11:04:16+00:00