Pada hari Sabtu bertarikh 21 Januari, seramai 25 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun satu Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia telah mengadakan program bernama ‘Happy Dento Rush’ bertempat di Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad. Program ini melibatkan seramai 23 orang kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 6 hingga 8 tahun. Program ini merupakan sebahagian tugasan akhir kursus bagi Kursus Teater yang menyumbang kepada markah kokurikulum.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Program dimulakan dengan ceramah Oral Hygiene Talk : We Share We Care. Yang dikendalikan oleh dua orang pelajar yang ditugaskan untuk menerangkan tentang cara-cara menjaga dan membersihkan gigi dengan betul. Ceramah ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang penjagaan gigi yang tepat. Ceramah ini turut disertakan dengan slaid yang berkaitan tajuk serta beberapa model gigi yang dijadikan sebagai bahan tunjuk ajar agar peserta lebih faham.

Selain itu, terdapat juga aktiviti senamrobik yang diketuai oleh tiga orang fasilitator. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keceriaan peserta agar bersemangat untuk melakukan aktiviti yang seterusnya. Kesemua 23 peserta amat bersemangat dan ceria ketika senamrobik dijalankan. Program diteruskan dengan sesi ‘Ice Breaking’. Dalam sesi ini, peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan akan diketuai oleh 2 hingga 4 orang fasilitator. Setiap kumpulan diberi nama bertemakan haiwan iaitu ular, harimau, monyet, gajah.

Aktiviti berkumpulan pertama yang dijalankan ialah pembikinan logo dan bendera bagi kumpulan masing-masing. Aktiviti ini dapat membantu untuk mengasah bakat peserta dalam melukis dan mewarna. Terdapat 4 kertas mahjong yang penuh dengan corak dan logo yang menarik yang dicipta oleh peserta sendiri. Program dimeriahkan lagi dengan pertandingan mencari gula-gula dalam tepung dan juga membawa bola ping pong menggunakan sudu. Aktiviti seperti ini dapat memupuk semangat berpasukan dikalangan peserta.

Akhir sekali, program diteruskan lagi dengan pertandingan sketsa bertemakan kebersihan gigi. Peserta dikehendaki mempersembahkan persembahan seperti menyanyi di bawah tema yang ditetapkan. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan sesi penyampaian hadiah dan minum petang sebelum bersurai pada pukul 5 petang. Antara manfaat yang diperolehi daripada program ini ialah dapat menjalin hubungan antara pelajar dan peserta serta pengurus tempat penjagaan.