NILAI: Kursus Catur kumpulan 1 dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah berjaya mengadakan sebuah program iaitu kejohanan catur di peringkat fakulti. Kejohanan itu telah dianjurkan pada 17 Jun 2022 iaitu hari Jumaat secara di atas talian ekoran Covid-19. Kejohanan telah dilaksanakan di aplikasi Lichess.com. Seramai 50 orang yang terdiri daripada kalangan pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah menyertai Kejohanan Catur Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM 2022. Bilangan ahli jawatankuasa yang telah terlibat bagi menjayakan kejohanan tersebut adalah seramai 23 orang.

Seawal jam 8 malam, para peserta telah bersedia di platform Lichess. Kejohanan yang dilaksanakan mengambil masa 1 jam 45 minit dan tamat pada jam 9.45 malam dan dilaksanakan sebanyak 6 pusingan yang mana setiap pusingan bersamaan 14 minit tempoh perlawanan. Tepat pada jam 10 malam, pengerusi bagi kejohanan catur, Muhammad Hariz Bin Mohd Hasni mengumumkan keputusan bagi pertandingan catur tersebut. Bagi kategori lelaki, Muhammad Basyir Bin Khair merupakan juara bagi kejohanan tersebut diikuti oleh Muhammad Haziq Bin Razali yang menyendang di tempat kedua dan Muhammad Nabil Najmi Bin Muhammad Afandie di tempat ketiga. Bagi kategori perempuan pula, juara telah disandang oleh Hannan Humaira Binti Zainal, diikuti oleh Busyra Binti Ab Alim dan Nurul Musfirah Binti Mad Saad di tempat kedua dan ketiga.

Keenam-enam pemenang bagi kejohanan catur tersebut telah membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah RM50 bagi juara, RM30 bagi mereka yang mendapat tempat kedua dan RM20 bagi mereka yang mendapat tempat ketiga. Saguhati berbentuk wang tunai berjumlah RM10 serta sijil penyertaan telah diberikan kepada pemenang di tempat keempat, kelima dan keenam bagi setiap kategori. Bagi peserta yang lain, mereka juga telah mendapat sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan daripada pihak Kelab Catur Kumpulan 1 kerana sudi menyertai kejohanan yang telah dianjurkan.

Besar harapan dari pihak penganjur agar kejohanan yang dianjurkan dapat memberi sedikit manfaat kepada setiap pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga dengan kejohanan catur yang diadakan itu dapat meningkatkan kemahiran para peserta yang menyertainya.